PASIR GUDANG, 1 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melaksanakan operasi susulan berhubung insiden pencemaran bau kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum di sini, malam tadi, yang melibatkan tiga mangsa.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Johor, panggilan kecemasan diterima pada 11.11 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang bersama unit HAZMAT BBP Larkin digerakkan sejauh tiga kilometer dan tiba di lokasi pada 11.16 malam.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku insiden pencemaran bau kimia di kawasan kilang berkenaan yang melibatkan tiga mangsa.
“Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai mangsa tidak dapat diperoleh kerana mereka telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pasukan bomba tiba,” menurut kenyataan itu.
Pasukan HAZMAT melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh di kawasan kilang bagi memastikan tiada lagi risiko pencemaran serta keadaan berada dalam keadaan selamat.
Seramai tiga anggota bersama seorang juruteknik kilang memasuki premis untuk pemeriksaan berkala dengan dilengkapi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) penuh, satu unit Gas Mate dan dua unit GFG Gas Detector.
Hasil pemantauan mendapati kepekatan gas hidrogen sulfida berada pada tahap 8.9 ppm.
Selain itu, PKO turut menjalankan kerja ventilasi menggunakan kipas khas milik kilang serta melaksanakan semburan fogging dengan satu aliran salur bantu meliputi keluasan 10 x 10 meter persegi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.37 pagi selepas bacaan udara di kawasan kejadian kembali normal.
Operasi berkenaan melibatkan 13 anggota JBPM dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan RRV.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial