AM

Titah Agong, Doa Rakyat Bukti Solidariti Untuk GSF Dan Gaza

03/10/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel sejak awal pagi semalam, terus menerima kekuatan melalui doa serta solidariti masyarakat global, selain sokongan penuh keprihatinan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa misi GSF melambangkan persaudaraan tanpa batas apabila sukarelawan pelbagai bangsa dan agama, termasuk rakyat Malaysia, sanggup menggalas risiko besar demi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Mereka dalam misi itu hanya membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook Royal Press Office hari ini selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyembah maklum perkembangan terkini flotila berkenaan.

Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri, berkata kesemua 23 rakyat Malaysia kini berada di Pelabuhan Ashdod, Israel, dan pasukan guaman telah mula berhubung dengan mereka.

Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan guaman Malaysia di Amman bagi memastikan tahanan negara yang menyertai misi GSF mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.

Kedutaan turut memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang telah ditahan pihak berkuasa Israel.

“Pihak Kedutaan juga berhubung dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berhubung tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” menurut notis konsular yang disiarkan di laman Facebook Kedutaan hari ini.

Flotila antarabangsa yang disertai lebih 450 aktivis dari 47 negara, termasuk Greta Thunberg, Susan Sarandon dan Mandla Mandela, dilaporkan disekat dalam operasi selama beberapa jam oleh tentera Israel.

Tindakan Israel mencetuskan reaksi antarabangsa apabila Turkiye, Sepanyol, Afrika Selatan dan Kanada menuntut pembebasan segera para aktivis, manakala Amnesty International menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang maritim antarabangsa.

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) turut mengesahkan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang melaksanakan usaha maksimum untuk membebaskan aktivis negara yang terbabit dalam misi GSF.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata beliau dihubungi Perdana Menteri pada 8.10 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan kesihatan serta keselamatan para aktivis dan ahli keluarga mereka.

"Beliau selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara bertanya khabar mengenai keadaan keluarga aktivis, kesihatan mereka, serta meminta saya menyampaikan salam beliau selain memberi jaminan penuh terhadap usaha kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

SNCC turut memaklumkan hanya satu daripada kapal-kapal yang menyertai misi GSF masih meneruskan pelayaran ke perairan Gaza.

Berdasarkan paparan skrin SNCC, kapal Marinette kini berada di zon kuning di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan hanya 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam flotila tersebut.

Tiada aktivis Malaysia berada di atas kapal berkenaan. Pelayaran Marinette boleh dijejaki menerusi https://globalsumudflotilla.org/live/.

Sementara itu, Freedom Flotilla Coalition (FFC) memaklumkan sebanyak 11  kapal lain sedang belayar menuju Semenanjung Gaza bagi mencabar sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Dalam kenyataan pada Khamis, FFC berkata dua bot yang mengibarkan bendera Itali dan Perancis berlepas dari pelabuhan Otranto, Itali pada 25 Sept dan disertai kapal Conscience pada 30 Sept, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut FFC, kapal-kapal itu dijangka bergabung dengan satu lagi konvoi lapan buah bot, "Thousand Madleens to Gaza," dalam tempoh beberapa jam lagi, sekali gus membentuk konvoi 11 kapal menuju Gaza.

Gabungan itu berkata kira-kira 100 orang berada di atas kapal berkenaan, yang kini berada di perairan Crete.

FFC, yang ditubuhkan pada 2008, telah melancarkan puluhan misi untuk menghantar bantuan dan menarik perhatian global terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.

Konvoi baharu ini berlepas sehari selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas bot yang belayar ke Gaza bagi mencabar sekatan Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan