KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia hari ini menerima memorandum tiga tuntutan berhubung isu Palestin, sekali gus menjadi saluran diplomatik kepada suara solidariti rakyat Malaysia yang turut dizahirkan melalui himpunan di seluruh negara, termasuk gerakan akar umbi di Sabah.
Gabungan pendekatan diplomasi dan denyut nadi rakyat itu menggambarkan sokongan Malaysia yang bukan sahaja berkumandang di jalanan, malah menekan kuasa antarabangsa demi keselamatan 23 sukarelawan flotila Malaysia yang kini ditahan tentera Israel.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata beliau dihubungi wakil kedutaan yang bersetuju menerima memorandum pada 3 petang tadi, membenarkan dua wakil termasuk Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Dr Maszlee Malik masuk menyerahkannya.
“Selain bersedia mendengar tuntutan, pihak kedutaan turut memberi jaminan keselamatan sukarelawan GSF termasuk rakyat Malaysia serta membantu memastikan mereka pulang dengan selamat,” katanya selepas penyerahan memorandum itu di Jalan Tun Razak.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menambah Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak semalam menghubungi pemimpin Turkiye dan Qatar bagi mengatur kepulangan sukarelawan flotila, dengan Kedutaan AS memberi jaminan usaha itu sedang dijalankan.
Terdahulu, ribuan peserta Himpunan Solidariti Free Sumud Flotilla berarak dari Bangunan Tabung Haji ke Kedutaan AS selepas solat Jumaat sambil membawa panji menuntut penamatan sekatan Israel.
Gelombang sokongan menjalar ke seluruh negara menerusi solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di masjid utama antaranya di Pahang, Sabah, Perak dan Melaka.
Di Sabah, lebih 300 orang berhimpun di Masjid Negeri Kota Kinabalu bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO), mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan kebebasan.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah Mohd Zikri Zainudin menegaskan himpunan itu membawa mesej jelas agar bantuan kemanusiaan segera dibuka ke Gaza.
Presiden Ikatan Penulis Sabah Awang Abdul Muizz Awang Marusin pula menyifatkan solidariti itu menzahirkan isu Gaza sebagai krisis kemanusiaan sejagat, sekali gus membuktikan Kota Kinabalu berdiri bersama perjuangan itu, bukan sekadar soal agama atau bangsa.
Sokongan serupa turut bergema di Pahang apabila hampir 2,000 orang berhimpun di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, manakala di Perak lebih 500 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.
Di Melaka, solat hajat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah serta masjid seluruh negeri turut disertai jemaah termasuk Adam Maz Iskandar Shamsudin, 21, yang menyifatkan semangat sukarelawan luar biasa kerana sanggup membawa makanan dan bantuan ke Gaza.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
Mereka yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel. Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela Mandla Mandela.
Di Kelantan, hampir 5,000 peserta berhimpun di Padang Lembah Sireh di Kota Bharu bagi menyertai program Kelantan Bangkit Bersama GSF Gaza serta menzahirkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Peserta turut menaiki bot menyusuri Sungai Kelantan, menjadikan himpunan itu unik dengan simbolik semangat perpaduan dan solidariti
Program itu disertai pelbagai lapisan masyarakat yang hadir membawa sepanduk dan bendera Palestin sebagai tanda sokongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial