DUNIA

Israel Serang Kapal Terakhir GSF Di Perairan Antarabangsa

03/10/2025 08:27 PM

ANKARA, 3 Okt (Bernama-Anadolu) -- Israel pada Jumaat menyerang Marinette, satu-satunya kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam pelayaran ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi memetik penganjur.

Dalam satu kenyataan di platform X, GSF berkata: “Askar Israel telah menaiki kapal Marinette milik #GlobalSumudFlotilla dan menawan para aktivis.”

Menurut GSF, “penstriman langsung terhenti secara tiba-tiba selepas seorang askar memecahkan kamera semasa menceroboh naik kapal itu.”

Marinette yang berdaftar di Poland dengan dilaporkan mempunyai enam kru merupakan kapal terakhir yang masih beroperasi daripada armada yang terdiri daripada 44 buah kapal itu.

Tentera laut Israel pada Khamis menyerang dan merampas kapal-kapal GSF serta menahan lebih 450 aktivis dari lebih 50 negara. Flotila itu dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan Israel ke atas wilayah berkenaan.

Israel telah mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang didiami oleh hampir 2.4 juta orang, selama hampir 18 tahun.

Sejak Oktober 2023, serangan bom Israel telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di wilayah itu dan menjadikannya tidak dapat didiami.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan