AM

KPT Beri Sokongan Penuh Ahli Akademik Sertai Misi Kemanusiaan GSF

03/10/2025 06:00 PM

NILAI, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pejuang kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia khususnya ahli akademik yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya mendoakan kesejahteraan para pensyarah yang terlibat dan berharap mereka berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan dan pelaksanaan misi kemanusiaan itu.

“Bagi para pensyarah kita dan sebagainya (yang terlibat), kami sentiasa mendoakan mereka dan kami memberi sokongan agar mereka berada dalam keadaan yang selamat.

“Negara secara keseluruhannya telah menyuarakan bantahan terhadap tindakan yang dibuat oleh rejim Israel terhadap Palestin yang tidak langsung mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan Integrasi Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lapan lagi sukarelawan rakyat Malaysia terdiri daripada pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Mereka adalah Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, selain wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan