DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

03/10/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham mewah terpilih dan saham permodalan kecil, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.41 mata atau 0.08 peratus kepada 1,636.39 daripada 1,637.80 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 20.93 mata kepada 1,658.73 dan bergerak antara 1,632.28 dan 1,658.73 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 488 berbanding 445 manakala 492 kaunter kekal tidak berubah, 1,149 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.64 bilion unit bernilai RM1.24 bilion.

Menurut Maybank Investment Bank Bhd, pelabur akan memantau data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan malam ini berikutan kebimbangan baharu mengenai keadaan pasaran tenaga kerja AS yang boleh memberi kesan limpahan kepada pasaran Malaysia.

“Dari segi teknikal, kami menjangka indeks petunjuk pasaran berada antara 1,630 dan 1,650 hari ini dengan paras sokongan kekal pada 1,550 dan 1,500,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.99, Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.34, CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan satu sen kepada RM7.59 dan RM8.25 manakala Tenaga tidak berubah pada RM13.46.

Dalam dagangan aktif, Borneo Oil, EA Holdings dan NexG Bina, masing-masing mendatar pada setengah sen, setengah sen dan 9.5 sen, SCIB naik 4.5 sen kepada 21 sen dan Zetrix AI merosot satu sen kepada 84.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Dutch Lady meningkat 26 sen kepada RM27.26, Sam Engineering & Equipment menambah 25 sen kepada RM4.53, Nestle naik 24 sen kepada RM97.36, United Plantations menokok 24 sen kepada RM23.22 dan Bursa Malaysia naik 15 sen kepada RM8.25.

Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries merosot 38 sen kepada RM31.36, Allianz Malaysia berkurangan 22 sen kepada RM18.52, Petronas Dagangan menurun 14 sen kepada RM23.06, PIE susut 11 sen kepada RM3.25 dan Paragon merosot 10 sen kepada RM2.75.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 0.80 mata kepada 12,191.50, Indeks FBM 100 menambah 0.45 mata kepada 11,921.19, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.68 mata kepada 12,230.71 dan Indeks FBM 70 menokok 47.51 mata kepada 17,118.99.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE merosot 1.61 mata kepada 5,319.20.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.42 mata kepada 174.61, Indeks Tenaga meningkat 3.82 mata kepada 786.98, Indeks Perladangan merosot 7.38 mata kepada 7,796.17 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan kepada 18,571.75.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan