Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi, disokong oleh kenaikan semalaman di Wall Street tetapi beralih kepada rendah kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham mewah terpilih dan saham permodalan kecil, kata penganalisis.
Pada 9.30 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.94 mata kepada 1,634.86 daripada 1,637.80 semasa ditutup semalam selepas dibuka tinggi 20.93 mata kepada 1,658.73.
Pasaran secara menyeluruh negatif sedikit dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 297 berbanding 265 manakala 388 kaunter kekal tidak berubah, 1,624 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 559.35 juta unit bernilai RM264.49 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street tidak terjejas oleh penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan ketiga-tiga indeks utama mencatatkan paras tertinggi baharu.
“Walaupun AS tidak mempunyai data ekonomi rasmi, hasil bon Perbendaharaan untuk tempoh 10 tahun menurun sedikit kepada 4.085 peratus,” katanya.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup melebihi paras 27,000, disokong oleh keyakinan baharu terhadap inisiatif kecerdasan buatan (AI) domestik dan tanda-tanda pulih dalam sektor hartanah.
Dalam negara, katanya ia merupakan satu kejutan yang baik apabila FBM KLCI kekal berada pada paras melebihi 1,630.
“Kami percaya ini mencerminkan aliran masuk dana asing ke bursa tempatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jumlah dagangan harian yang melonjak melepasi empat bilion saham merupakan petunjuk positif kepada pasaran.
“Jika keadaan ini berterusan, kita akan menyaksikan perkembangan yang menarik dalam tempoh tiga bulan akan datang. Hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,635 hingga 1,650,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, AMMB dan CIMB, masing-masing merosot 5.0 sen kepada RM5.80 dan RM7.55, SD Guthrie dan Sunway, masing-masing berkurangan 3.0 sen kepada RM5.22 dan RM5.78 serta CelcomDigi menurun 2.0 sen kepada RM3.66.
Dalam dagangan aktif, Sarawak Consolidated menambah 4.5 sen kepada 21 sen manakala NexG, Borneo Oil dan TWL, masing-masing mendatar pada 9.5 sen, 0.5 sen dan 2.5 sen. Zetrix AI berkurangan 0.5 sen kepada 85 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Allianz naik 20 sen kepada RM18.94, Bursa Malaysia meningkat 14 sen kepada RM8.24, Hong Leong Bank menambah 12 sen kepada RM21.10, United Plantations menokok 10 sen kepada RM23.08 dan Oriental naik 9.0 sen kepada RM6.97.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries merosot 62 sen kepada RM31.12, Nestle berkurangan 48 sen kepada RM96.64, Panasonic Manufacturing menurun 8.0 sen kepada RM8.47, Alliance Bank susut 7.0 sen kepada RM4.52 dan UMS Integration merosot 6.0 sen kepada RM4.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 17.56 mata kepada 12,173.14, Indeks FBM 100 merosot 17.74 mata kepada 11,903.00, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 9.85 mata kepada 12,212.18, Indeks FBM 70 susut 9.53 mata kepada 17,061.95 dan Indeks FBM ACE merosot 27.80 mata kepada 5,293.01.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.15 mata kepada 174.34. Indeks Tenaga berkurangan 0.10 mata kepada 782.66, Indeks Perladangan merosot 23.34 mata kepada 7,780.21 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 26.33 mata kepada 18,552.49.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial