KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Tiga puluh hari sebelum temasya bermula, Jawatankuasa Penganjur Tempatan bagi Sukan Solidariti Islam 2025 di Riyadh secara rasmi melancarkan slogan edisi tahun ini, ‘One Nation’, ungkapan yang mencerminkan semangat perpaduan, solidariti dan nilai bersama dalam kalangan masyarakat dunia Islam melalui kekuatan sukan.
Temasya edisi keenam itu akan bermula pada 3 Nov, diikuti dengan majlis pembukaan rasmi pada 7 Nov, dengan acara berlangsung sehingga 21 Nov membabitkan lebih 3,000 atlet daripada 57 negara, yang akan bertanding dalam 23 acara sukan di lima venue utama iaitu Stadium Bandar Putera Faisal bin Fahad, Kompleks Olimpik Putera Faisal bin Fahad, Boulevard Riyadh City, Al Janadriyah dan The Sports Boulevard.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tertinggi Tuanku Putera Fahad Jalawi Al Saud berkata slogan ‘One Nation’ mencerminkan makna yang lebih mendalam di sebalik penganjuran temasya sukan itu.
“Ia lebih daripada sekadar temasya sukan, ia adalah mesej perpaduan yang menyatukan dunia Islam melalui nilai bersama dan solidariti. Dengan sokongan berterusan daripada kepimpinan bijaksana kami, Kerajaan Arab Saudi tetap komited untuk memeluk dunia Islam dan menonjolkan nilai-nilai yang mengikat kita bersama. Tidak kira betapa sengitnya pertandingan, kita berhimpun dengan keyakinan bahawa kita adalah satu bangsa,” katanya.
Atlet akan bertanding dalam 23 acara sukan termasuk dua sukan para, dengan perlumbaan unta serta e-sukan membuat penampilan sulung pada temasya kali ini.
Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah bola baling, bola keranjang 3x3, renang, lawan pedang, olahraga, Muay Thai, taekwondo, bola tampar, perlumbaan unta (pertama), ping pong, karate, gusti, futsal, angkat berat, judo, duathlon, ekuestrian, tinju, wusyu, e-sukan (pertama) dan jujitsu.
Sukan para pula merangkumi angkat berat para dan olahraga para.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial