SUKAN

"Shakeout Run" Pemanas Badan Menjelang KLSCM 2025

03/10/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Oct (Bernama) -- Hampir 100 ahli kelab larian termasuk daripada Kelab Larian ASICS dan serantau menyertai shakeout run di Taman KLCC hari ini, sebagai persiapan menyertai Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (KLSCM ) 2025 hujung minggu ini.

Larian santai itu yang berakhir dengan senaman mobiliti dikendalikan jurulatih Ili Kamal, bertujuan membantu peserta bersiap sedia dari segi fizikal dan mental menjelang hari perlumbaan.

Pengurus ASICS Malaysia Boon Tim Soom Nik berkata sesi berkenaan memberi peluang kepada pelari untuk berhubung dan saling memberikan sokongan.

Shakeout run ini memberi ruang kepada pelari untuk membuat persediaan bersama dalam suasana santai sambil berkongsi semangat bermasyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Pelari negara Daren James Nair yang akan menyertai acara 10 kilometer (km) tahun ini berkata beliau mahu menikmati perlumbaan kali ini di samping mempamerkan prestasi terbaik.

“Pencapaian tahun lepas memberikan jangkaan tertentu, namun bagi saya ia lebih kepada berlari dengan cara sendiri dan menghargai setiap detik,” katanya.

Daren berkata beliau turut memasukkan latihan mendaki dalam persediaan menghadapi laluan tahun ini yang dikatakan lebih berbukit.

Sementara itu, koleksi barangan rasmi KLSCM X ASICS boleh didapati di Ekspo Gaya Hidup Aktif KLSCM 2025 di Exhibition Hall 6, KLCC dari 2 hingga 4 Okt, serta di Race Village pada 5 Okt.

Acara maraton tahun ini menampilkan beberapa kategori termasuk maraton penuh (42km), separuh maraton (21km), 10km dan larian santai 5km dengan ribuan peserta mengambil bahagian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan