AM

PM Anwar Mahu MPN Bina Masa Depan Pendidikan Berdaya Saing, Berjati Diri

03/10/2025 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Majlis Pendidikan Negara (MPN) perlu memperhalusi isu-isu mendesak termasuk pelaksanaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI) serta penguasaan Bahasa Melayu, demi membina masa depan pendidikan yang berdaya saing dan berakar pada jati diri.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata MPN turut diminta memberi perhatian kepada penguasaan Bahasa Inggeris dan Sejarah, kedudukan sekolah agama dan pondok, selain memperkukuh sinergi universiti dengan Akademi Sains Malaysia (ASM).

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MPN yang membincangkan hala tuju pendidikan negara, meliputi Terma Rujukan MPN, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 serta semakan semula Mata Pelajaran Umum (MPU).

Anwar turut menegaskan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bahawa reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan bersendirian, sebaliknya mesti merangkul kekuatan dan menghubungkan inovasi, sosial, AI, agama dan nilai kemasyarakatan, agar pendidikan benar-benar memerdekakan jiwa, membina identiti dan membentuk pemikiran bangsa.

“Cabaran kita ialah menggapai langit dalam pendigitalan dan AI, sambil mengakar ke bumi dengan nilai, budaya dan agama yang membentuk kerangka pemikiran bangsa. Inilah keseimbangan yang mesti kita pelihara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook berkata Kementerian Pendidikan membentangkan PPPM 2026-2035 pada mesyuarat berkenaan, yang bakal menggantikan pelan sedia ada.

Beliau berkata pelan baharu itu dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih inklusif dan mampan dalam menghadapi cabaran semasa serta masa depan.

"MPN adalah usaha strategik Kerajaan MADANI untuk menyelaras hala tuju, dasar dan pelaksanaan pengoperasian pendidikan negara bermula dari prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi," katanya.

Fadhlina berkata Perdana Menteri memberi penekanan khusus kepada bidang tumpuan seperti STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris.

"Benarlah pepatah, 'it takes a village to raise a child'. Ia memerlukan kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi bagi memartabatkan pendidikan negara demi manfaat semua anak Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan