DUNIA

Ringgit Dijangka Meningkat Menjelang Belanjawan 2026 Disokong Pendirian BNM, Jangkaan Fiskal

03/10/2025 10:18 AM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka meningkat menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini, disokong oleh pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan jangkaan konsolidasi fiskal.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata BNM, yang telah menurunkan kadar faedah pada awal tahun ini, dijangka mengekalkan kadar penanda arasnya itu pada 2.75 peratus, menolak jangkaan pelonggaran dasar monetari seterusnya daripada pasaran.

“Belanjawan turut dijangka kekal dengan pendekatan mencapai kestabilan fiskal yang mengurangkan defisit secara berperingkat,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan dolar AS yang rendah, beliau berkata ringgit boleh mengukuh kepada kira-kira 4.20 berbanding dolar AS jika perkembangan sebelum belanjawan memperkukuh kredibiliti fiskal.

“Anggaran asas saya ialah akan terdapat sekurang-kurangnya dua penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Jika pasaran tenaga kerja terus kurang menggalakkan atau masalah fiskal Washington menjadi serius, Fed mungkin perlu melaksanakan penurunan kadar sebanyak 50 mata asas,” katanya.

Mengenai pembaharuan fiskal, Innes menjangka kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah tambahan secara berperingkat.

“Hala tujunya adalah jelas: memindahkan subsidi daripada menyeluruh kepada bersasar seperti yang dapat dilihat pada subsidi diesel dan kini RON95 di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95) serta mengekalkan penurunan nisbah hutang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mengekalkan disiplin perbelanjaan dalam Belanjawan 2026 tanpa memperkenalkan cukai yang menghalang pertumbuhan akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur dalam jangka sederhana.

Pada masa yang sama, katanya Belanjawan 2026 bukan hanya sebagai rangsangan jangka pendek, malah lebih kepada membina asas untuk ringgit mendapat semula keyakinan pelabur dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School yang berkongsi pandangan sama berkata pembaharuan fiskal dijangka diteruskan dalam Belanjawan 2026, dengan pengurangan defisit fiskal yang berterusan dan lebih banyak penjimatan kos melalui rasionalisasi subsidi.

“Inisiatif ini dapat membantu menyokong keyakinan pelabur dan prestasi ringgit seperti yang dapat dilihat dalam pengumuman rasionalisasi subsidi RON95 baru-baru ini,” katanya.

Mengenai pembentangan belanjawan yang akan datang, beliau menjangka pelabur dan pasaran akan memberi reaksi positif berdasarkan pelaksanaan inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Dijangka tiada kejutan dan di bawah RMK13, pemantauan berterusan akan dibuat untuk memastikan kurang pembaziran dan ketirisan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan