KUALA LUMPUR, 3 Oct (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan mengukuhkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan ruang fiskal, kata MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) hari ini.
Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu menekankan bahawa sejak 2021, defisit fiskal telah mengurangkan lebih dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sekali gus menyediakan peluang yang lebih besar untuk memperkenalkan langkah rangsangan kitaran berbalas ketika berlakunya kemelesetan pada masa akan datang.
Oleh itu, dalam belanjawan akan datang, yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober, MBSB IB menjangkakan kerajaan mungkin menambah sedikit peruntukan bagi Belanjawan 2026, iaitu sekitar RM430 bilion berbanding RM421 bilion pada Belanjawan 2025.
“Kami menganggarkan saiz defisit fiskal akan berkurangan kepada RM78 bilion pada 2026, mengurangkan nisbah defisit kepada KDNK kepada -3.6 peratus berbanding ramalan -3.8 peratus pada 2025, dengan andaian bahawa pertumbuhan ekonomi kekal sederhana pada 4.0-4.5 peratus,” kata bank itu.
Pengembangan cukai semasa
Menurut MBSB IB, strategi fiskal dalam belanjawan akan datang perlu memberi tumpuan kepada pengembangan cukai semasa, yang didorong oleh keperluan untuk mengimbangi perbelanjaan mengurus yang semakin meningkat dan unjuran penguncupan dalam hasil berkaitan petroleum pada 2026.
Katanya, dalam empat kitaran belanjawan sebelum ini, pembuat dasar telah menjangkakan peningkatan hasil sama ada dengan memperkenalkan skim percukaian progresif baharu atau memperluaskan liputan rejim cukai langsung dan tidak langsung sedia ada.
“Strategi ini secara langsung menyokong objektif fiskal yang tertakluk di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).
“Kami berpendapat bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mengumumkan cukai baharu atau memperluaskan langkah cukai semasa untuk meningkatkan hasil,” kata MBSB IB.
Langkah-langkah yang mungkin diambil di bawah Belanjawan 2026 termasuk cukai pendapatan peribadi yang lebih tinggi kepada kumpulan berpendapatan tinggi, terus memperluaskan cukai jualan dan perkhidmatan, penamatan tempoh pengecualian duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik yang dibina sepenuhnya, selain rasionalisasi serta subsidi bersasar.
Hasil fiskal berkaitan petroleum
MBSB IB berkata hasil fiskal berkaitan petroleum akan bergantung kepada pergerakan harga minyak dan menjangkakan dividen Petronas kepada kerajaan mungkin berkurangan pada 2026.
Sementara itu, berdasarkan andaian dalaman, harga minyak mentah Brent dijangka kekal stabil, iaitu purata antara US$65 dan US$70 setong pada 2026.
“Walaupun dalam keadaan stabil, terdapat kecenderungan menurun kepada unjuran harga minyak 2026, sebahagiannya disebabkan oleh potensi lebihan bekalan dalam pasaran minyak global.
“Selain itu, kami menjangkakan dividen Petronas kepada kerajaan Malaysia akan dikurangkan lagi pada 2026 daripada kira-kira RM32.0 bilion masing-masing pada 2024 dan 2025,” katanya.
Bank itu menekankan mengenai cabaran yang dihadapi Petronas, terutamanya ke atas kawalan dan perkongsian hasil sumber di Sarawak, yang boleh menjejaskan keupayaannya untuk membayar dividen.
Katanya, turut meningkatkan tekanan ialah unjuran mengenai cadangan penurunan dalam hasil berkaitan petroleum lain pada tahun depan, khususnya hasil daripada royalti minyak dan cukai pendapatan petroleum.
“Permintaan global yang lebih lemah dan peraturan perdagangan yang lebih ketat boleh menjejaskan prospek eksport sektor perlombongan.
“Penurunan dalam eksport petroleum, contohnya, telah menjejaskan prestasi perdagangan luar Malaysia tahun ini,” tambah MBSB IB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial