AM

Seniman Kecam Tindakan Israel Halang Misi Kemanusiaan GSF Ke Gaza

02/10/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengecam keras tindakan tentera Zionis terhadap kesemua aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk ahli persatuan itu.

Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata tindakan menghalang bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik bercanggah dengan Konvensyen Geneva 1949 serta Protokol Tambahan I (1977) yang secara jelas menetapkan semua pihak wajib membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam tanpa sebarang halangan.

“Semua kapal awam di laut lepas mempunyai hak kebebasan belayar dan tidak boleh diganggu atau dirampas, kecuali dalam keadaan tertentu seperti lanun, penyeludupan dadah, atau jika kapal tidak berdaftar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memohon kerajaan menggunakan saluran diplomatik antarabangsa serta mendesak dan memberikan tekanan politik supaya kesemua aktivis kemanusiaan dijamin keselamatan, dibebaskan segera dan dihantar pulang ke tanah air.

Hafiz berkata Seniman juga tidak akan teragak-agak untuk menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya tiada tindakan segera dilakukan Israel.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF menuju Gaza, termasuk Ardell Aryana, Zizi Kirana dan dua beradik, Hazwani dan Heliza Helmi.

Sehingga 7.50 pagi tadi waktu Malaysia, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, malam tadi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan