AM

SPRM Sarawak, Selangor, Kelantan Terima Anugerah PTJ JPM 2024

02/10/2025 09:34 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Selangor dan Kelantan terpilih menerima Anugerah Penarafan Amalan Terbaik Pengurusan Perakaunan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2024. 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sempena Program Libat Urus Pegawai Pengawal Bersama Pegawai Perakaunan dan Kewangan PTJ JPM Tahun 2025 yang di adakan di Auditorium Perdana, Kompleks Setia Perdana, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 17 penerima  anugerah penarafan yang diberikan untuk menghargai pencapaian cemerlang PTJ JPM dalam melaksanakan pengurusan perakaunan dan kewangan dengan tepat mengikut piawaian perakaunan yang berkuat kuasa. 

Pengarah SPRM Sarawak, TPj Hasbilah Mohamad Salleh berkata, pihaknya amat berbangga dan berterima kasih di atas pengiktirafan ini kerana ia merupakan salah satu pengiktirafan yang bermakna buat SPRM Sarawak.

"Ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkasa dan memenuhi segala peraturan mengenai pengurusan kewangan dan akan meneruskan kecemerlangan ini di masa akan datang," katanya. 

Pengarah SPRM Selangor, TPj Mohd Azwan Ramli pula berkata, anugerah seperti ini wajar diteruskan supaya pegawai terbabit akan lebih bersemangat melakukan tugas dan ia juga penting demi menjaga ketirisan kewangan kerajaan terpelihara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, KPKPj Azmin Yusoff berkata, pihaknya  bertungkus lumus untuk mematuhi segala aspek pekeliling kerajaan yang ditetapkan dan berharap terus mencapai kecemerlangan ini pada masa akan datang.

Terdahulu, Tan Sri Shamsul Azri dalam ucapannya berkata, PTJ JPM perlu mengambil inisiatif penambahbaikan berterusan proses kerja yang melibatkan perakaunan dan kewangan dengan memanfaatkan teknologi masa kini.

Beliau berkata, melalui penggunaan sistem automasi dan Robotic Proses Automation (RPA), data perakaunan dan kewangan adalah lebih berintegriti serta pelaporan kewangan JPM dapat dikeluarkan dalam tempoh ditetapkan.

“Bagi memastikan semua aset Kerajaan diperakaunkan dengan tepat dan betul serta disokong oleh dokumen yang berintegriti, Bahagian Akaun dan Bahagian Teknologi Maklumat JPM telah bekerjasama untuk membangunkan sistem Asset Accounting Document Depository System (ADDS) yang membolehkan dokumen sokongan aset tanah dan bangunan dimiliki oleh PTJ JPM disimpan dengan selamat, lengkap dan kemas kini.

“ADDS telahpun siap dibangunkan dan akan diperluaskan pelaksanaannya di seluruh PTJ JPM mulai Oktober ini. Selain itu, Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah membangunkan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang telah diluncurkan pada 12 Februari 2025 oleh Perdana Menteri,” katanya.

Selaras dengan strategi itu, sasaran yang ditetapkan adalah untuk mencapai 98 peratus daripada PTJ/ Pusat Pemungut JPM melaksanakan terimaan secara tanpa tunai menjelang 2028. 

Berdasarkan statistik sehingga September 2025, sebanyak 233 (54.95 peratus) daripada 424 PTJ/ Pejabat Pemungut JPM telah pun mempunyai platform dan melaksanakan terimaan secara tanpa tunai.

Turut hadir,  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Audit Negara Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Datuk Abd Shukor Mahmood; Ketua Hakim Syarie Malaysia Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain.

--BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan