AM

Kelab CXO Selangor Kembali Tumpu AI, Modal Dan Pertumbuhan

02/10/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) pada Selasa melancarkan Kelab CXO Selangor 2025 di Menara AFFIN @ TRX iaitu satu program pemecut bilik lembaga pengarah selama setahun khas untuk eksekutif kanan Malaysia.

Dengan Kumpulan AFFIN sebagai penaja utama, Sidec memaklumkan siri eksklusif untuk ahli itu menghimpunkan pemimpin kanan dalam suasana kecil dan tertutup bagi memperkemas strategi perniagaan, membuka akses kepada modal serta mempercepat penerimaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Program ini menggabungkan meja bulat tertutup, sesi bersama pakar, dialog pelabur–pengasas, bengkel strategi modal, sudut bimbingan dan klinik padanan - format yang direka untuk menghasilkan keputusan, bukan hanya pembentangan. Setiap sesi berakhir dengan hasil yang bersedia dibawa ke bilik lembaga dan tindakan susulan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata kelab itu direka bentuk sebagai platform berorientasikan pelaksanaan bagi merapatkan jurang antara tujuan dan keputusan.

“Ini ialah bilik pelaksanaan. Perkemaskan strategi, panaskan modal dan bergerak,” katanya yang dipetik dalam kenyataan itu.

Selama 12 bulan dan berstruktur dalam tiga fasa - pencetus, pemecutan dan pertumbuhan - Sidec memaklumkan kelab itu akan menumpukan kepada cabaran kepimpinan praktikal, daripada kejayaan dalam permainan modal dan penyelarasan pakatan untuk berkembang, sehingga transformasi digital secara praktikal serta pertumbuhan berteraskan pelanggan.

Menurut Sidec, pelancaran itu menampilkan barisan ‘jurulatih unggul’ yang mempunyai rekod pencapaian terbukti dalam syarikat berskala ASEAN, penyenaraian awam serta pelaburan awal dalam peneraju kategori, termasuk Low Ngai Yuen dari AEON Malaysia, Paramjit Singh (Kumpulan Exsim), Dr Jeff Lim (Luckin Coffee) dan Mohd Atasha (Alphaus Inc).

Kelab CXO turut menampilkan format praktikal seperti perbualan santai, kelas induk, bengkel strategi modal, klinik padanan pelabur dan sudut bimbingan, dengan setiap tema bulanan diakhiri dengan senarai semak tindakan merangkumi pembiayaan, tadbir urus, pasaran atau penerimaan teknologi.

Sidec memaklumkan penglibatan terbaharu kelab itu mengimbangi kedalaman strategi dengan akses eksklusif, termasuk sesi khas mengenai awan, AI dan inovasi digital bersama Microsoft Malaysia serta akses utama ke lawatan inovasi Taiwan.

“Sentuhan ini menggambarkan rentak kelab: pandangan bermaklumat, laluan pembiayaan praktikal dan ekosistem terpilih iaitu hubungan berkembang menjadi kerjasama kerja,” katanya.

Kelab CXO Selangor menyasarkan ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai kewangan (CFO), ketua pegawai teknologi (CTO), ketua pegawai pemasaran (CMO) dan pemimpin kanan daripada syarikat berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mempunyai operasi besar, khususnya mereka yang mencari strategi modal lebih tajam, pelaksanaan berdisiplin dan penerimaan AI secara praktikal.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan