SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, hari ini.
Pasangan pengantin diraja dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj pada istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.
Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artilleri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.
Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat itu disaksikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
"Turut hadir ialah Kerabat Diraja Selangor dan keluarga pengantin Diraja Perempuan serta sahabat handai kedua belah pihak," menurut hantaran itu.
Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan diarak menaiki kenderaan istana sebagai sebahagian daripada Istiadat Pernikahan Diraja sejauh 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah dengan disaksikan ribuan masyarakat yang hadir bagi bersama-sama meraikan hari istimewa itu.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Afzaa Fadini sejurus sempurna diijabkabulkan dengan Tengku Amir Shah.
Afzaa Fadini, 32, yang merupakan anak ketiga dan satu-satunya puteri kepada pasangan Abdul Aziz dan Rosmawati Ismail memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Pembangunan dan Ekonomi dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Bandar Lestari di King’s College London.
Sepanjang pengajiannya di luar negara, Afzaa Fadini aktif dalam kepimpinan pelajar dan inisiatif kemasyarakatan, selain pernah memegang jawatan sebagai Presiden SOAS Malaysian Society dan juga wakil kampus bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teach For Malaysia.
Afzaa Fadini juga merupakan Pakar Arboris Bertauliah (ISA Certified Arborist) serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan melalui khidmat langsung kepada komuniti dan terlibat dalam program keselamatan makanan untuk komuniti Orang Asli bersama Free Food Society, serta menyokong advokasi hak asasi manusia melalui Amnesty International.
Afzaa Fadini juga mengamalkan kehidupan aktif dan merupakan penyelam bertauliah (PADI Advanced Diver), pemain tenis, pelari separuh maratom selain amat meminati sukan perlumbaan Formula 1.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial