KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 merupakan detik penting bagi sektor pendidikan tinggi Malaysia, dengan keputusan penting perlu dalam memastikan keupayaan negara bersaing pada peringkat global, kata Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia Prof Mushtak Al-Atabi.
Beliau dalam satu kenyataan berkata peruntukan RM18 bilion kepada pendidikan tinggi tahun ini merupakan satu langkah positif, namun landskap ekonomi yang berubah pantas memerlukan aspirasi lebih besar serta pelaburan berpandangan jauh.
“Belanjawan 2026 bukan sahaja perlu mengekalkan tahap pembiayaan semasa, tetapi juga memberi keutamaan kepada melahirkan graduan yang inovatif, inklusif dan berdaya tahan. Sifat-sifat ini akan menentukan kejayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.
Mushtak yang juga Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Swasta (VCCPU) berkata pengantarabangsaan mesti kekal sebagai keutamaan, sambil menyoroti pertumbuhan berterusan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, khususnya dari China, Indonesia dan India.
Merujuk kepada data Study Malaysia dan Education Malaysia Global Services, beliau berkata Malaysia berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran 250,000 pelajar antarabangsa pada 2025.
“Bagi memperkukuh usaha ini, kerajaan perlu memperkenalkan insentif khusus untuk menarik lebih ramai pelajar, terutamanya ke institusi swasta. Langkah ini akan meningkatkan kedudukan global Malaysia selain menjana manfaat ekonomi,” katanya.
Mengenai penyelidikan dan inovasi, Mushtak menggesa sokongan terhadap penyelidikan blue-sky yang mungkin tidak mempunyai penggunaan segera, tetapi berpotensi menghasilkan penemuan baharu, sambil menekankan kepentingannya dalam membina ekonomi berasaskan ilmu.
“Peningkatan pembiayaan dan kerjasama lebih erat antara akademia dan industri akan mewujudkan ekosistem penyelidikan dinamik yang menyemai kreativiti, penemuan dan kepimpinan,” katanya, dan berkata pelaburan dalam platform maya, infrastruktur kampus pintar dan alat digital, penting untuk mempersiapkan pelajar menghadapi pasaran kerja yang menekankan fleksibiliti dan pembelajaran diperibadikan.
Selain itu, Mushtak berkata menyokong pelajar neurodiversiti dan kurang upaya bukan sahaja kewajipan moral, malah juga cara untuk membuka potensi bakat terpendam dan dana khusus serta dasar yang mesra akses akan memastikan peluang sama rata untuk semua rakyat Malaysia.
Bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan pengiktirafan global, beliau mencadangkan pewujudan kerangka kualiti kebangsaan yang seragam serta insentif untuk menyelaraskan institusi tempatan dengan piawaian antarabangsa, yang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menaikkan reputasi universiti Malaysia pada peringkat gobal.
Beliau juga menggesa Malaysia untuk menerajui bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) dan berkata pelaburan dalam kedua-dua bidang itu akan membekalkan generasi akan datang dengan kemahiran untuk memimpin dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, kerana ia menjadi asas kepada inovasi masa depan dan pertumbuhan ekonomi.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar angka, ia peluang untuk melabur dalam masa hadapan Malaysia. Di Universiti Heriot-Watt, kami komited bekerjasama dengan kerajaan dan rakan strategik, untuk merealisasikan visi ini dan memastikan universiti Malaysia terus berkembang pada peringkat global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial