PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 50 negara terbaik dunia bagi Kluster Sains dan Teknologi (S&T) dalam Indeks Inovasi Global (GII) dalam tempoh lima tahun akan datang, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi dan inovasi serantau.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIMOS Bhd Dr Saat Shukri Embong berkata Malaysia kini berada di kedudukan ke-93 dalam GII 2024, dan pencapaian itu menunjukkan peningkatan positif hasil usaha kolektif pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara.
“Kita berharap dengan sokongan semua pihak dan kerjasama kerana kita tidak boleh melaksanakan usaha ini bersendirian. Kita perlu bersatu, dan insya-Allah dalam tempoh lima tahun, Malaysia boleh berada dalam kelompok 50 negara terbaik.
“Indikator GII juga menjadi rujukan kepada pelabur. Mereka akan melihat bahawa Malaysia mempunyai teknologi, kepakaran, sumber manusia dan kemampuan, seterusnya mereka akan datang melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis MIMOS Technology Preview (MTP) 2025 yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal di sini hari ini.
Dr Saat Shukri menegaskan kedudukan Malaysia dalam GII bukan sahaja mencerminkan keupayaan saintifik negara, malah turut meningkatkan daya saing ekonomi melalui pelaburan berimpak tinggi.
Pada tahun lepas, Kuala Lumpur mencatat sejarah apabila buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 100 teratas, iaitu di kedudukan ke-93 bagi Kluster S&T dalam GII 2024 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, sebelum ini berkata pencapaian itu merupakan kejayaan besar bagi Malaysia di peringkat inovasi global, meletakkan negara di hadapan beberapa kluster ekonomi utama lain.
Beliau berkata kedudukan Kuala Lumpur dalam kumpulan 100 teratas membuktikan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang penyelidikan saintifik dan kemajuan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial