KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan tindakan zalim rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel memintas kapal GSF yang sedang menghampiri Gaza dan menahan aktivis terlibat, sambil menegaskan keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai misi itu menjadi keutamaan kerajaan.
"Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat," katanya menerusi hantaran Facebook.
Fadillah berkata dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel, sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang dan nyawa, malah sanggup menindas misi kemanusiaan yang membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang kini berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan.
Beliau menegaskan misi itu bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin.
"Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat," katanya.
Fadillah menambah kerajaan akan terus tegas bersuara di peringkat antarabangsa, mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.
"Kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka," tambahnya.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial hari ini memaklumkan beliau dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi GSF dibebaskan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial