AM

PLANMalaysia Diminta Teliti Resolusi Konvensyen URA, Tambah Baik RUU PSB - Nga

04/10/2025 04:22 PM

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming  mahu  Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) supaya melakukan kajian lebih terperinci berhubung resolusi yang dibentangkan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Beliau berkata kajian itu termasuk cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dengan pindaan RUU PSB itu akan dilaksanakan sekiranya resolusi dan cadangan penambahbaikan yang dibentangkan oleh UMNO adalah praktikal serta memberi manfaat kepada semua pihak.

"Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sentiasa mengamalkan dasar open heart, open mind and open door.

"Sebab itu saya selalu mengalu-alukan semua pandangan yang bernas kerana teguran yang konstruktif akan diambil kira apabila merangka apa-apa akta atau undang undang kerana RUU PSB objektifnya adalah untuk membantu rakyat, khususnya penduduk di flat yang daif dan usang," katanya selepas Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 625 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Buntong menerima RM400 seorang melibatkan peruntukan RM250,000.

Ditanya mengenai bila beliau akan membentangkan RUU PSB untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Nga berkata perkara itu akan dilakukan selepas selesai pembentangan Belanjawan 2026.

Konvensyen URA anjuran UMNO menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pembangunan semula bandar termasuk aspek undang-undang, sosioekonomi serta kesejahteraan penduduk yang terlibat.

Resolusi berkenaan, antara lain menzahirkan komitmen UMNO dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan isu pembaharuan semula bandar dan kesejahteraan masyarakat bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan