KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan bakal mewujudkan ‘Sovereign AI Cloud’ bagi memastikan keupayaan kecerdasan buatan (AI) nasional yang selamat, berdaulat dan mampu menyokong pembangunan digital negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata gerak kerja itu adalah sebagai persediaan Malaysia ke arah negara AI menjelang 2030.
Keputusan itu dicapai semasa Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IRN) pada pagi ini yang dipengerusikan oleh beliau.
Perdana Menteri berkata antara perkara utama yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuklah pelaksanaan MyDigital ID yang perlu dipertingkat, status MyGov Malaysia yang memerlukan kerjasama dan sokongan semua kementerian dan agensi.
"Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Dasar Kuantum Negara yang akan dimulakan dengan penubuhan Pasukan Kuantum Negara.
“Ia bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi perkembangan teknologi kuantum serta ancaman Q-Day yang boleh menjejaskan keselamatan data dan infrastruktur digital negara,” kata beliau menerusi hantaran di laman X, hari ini.
Menurut Anwar, tindakan itu penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial