AM

Pengurusan Jenazah Tun Dr Mohamed Hashim Ikut Istiadat Ketenteraan

01/10/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR,  1 Okt (Bernama) -- Pengurusan jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali yang meninggal dunia hari ini akan dilaksanakan mengikut adat istiadat ketenteraan, termasuk istiadat penghormatan peringkat tertinggi sebelum disemadikan.

Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Operasi Rampai akan diatur gerak sebagai tanda penghormatan tertinggi ATM terhadap Panglima Angkatan Tentera (PAT) kesembilan itu.

"Jenazah Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim dijangka disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan dan disemadikan selepas solat isyak di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi dengan penuh adat istiadat ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Istiadat penghormatan terakhir itu dijangka turut disertai kepimpinan negara termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PAT Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, barisan panglima perkhidmatan serta bekas PAT.

“Kehadiran pemimpin negara, sahabat karib dan rakan seperjuangan mencerminkan penghormatan tertinggi terhadap jasa bakti Allahyarham kepada pertahanan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham Mohamed Hashim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di sini pada 11.52 pagi.

Mohamed Hashim yang dilahirkan di Ipoh, Perak merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom sebelum kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955. 

Kerjayanya berkembang dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Panglima Rajang Security Command (RASCOM), Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat sebelum dilantik sebagai PAT kesembilan dari 1987 sehingga 1992.

Markas ATM memaklumkan sebagai PAT, Allahyarham dikenang sebagai pemimpin yang membawa perubahan besar terhadap hala tuju pertahanan negara. 

“Ketika era kepimpinannya, negara sedang melalui fasa transisi selepas tamat ancaman insurgensi komunis dan beliau berperanan mengalih fokus ATM daripada operasi dalaman kepada pembinaan kekuatan konvensional moden.

“Antara sumbangan penting beliau adalah memperkukuh aspek profesionalisme, meningkatkan keberkesanan latihan serta memastikan ATM bersedia menghadapi peperangan berteknologi tinggi," menurut kenyataan itu.

Markas ATM memaklumkan di bawah kepimpinan Mohamed Hashim, ATM juga memperkukuh hubungan kerjasama pertahanan serantau, khususnya melalui rangka Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan kerjasama ASEAN, sekaligus mengangkat profil ATM di pentas antarabangsa.

Selepas menamatkan perkhidmatan pada tahun 1992, Allahyarham kekal aktif menyumbang dalam sektor korporat dan pendidikan, dan ketokohannya turut diiktiraf apabila dikurniakan pelbagai pingat kebesaran, termasuk Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada 2022. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan