AM

KPDN Pulau Pinang Pantau Stesen Minyak Pastikan Kelancaran BUDI95, SKPS

01/10/2025 03:03 PM

BUTTERWORTH, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melaksanakan pemantauan ketat terhadap stesen minyak di seluruh negeri ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan penuh program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata pemantauan secara rambang itu penting bagi memastikan pelaksanaan BUDI95 mengikut garis panduan dan bagi menutup ruang manipulasi atau penyalahgunaan subsidi.

“BUDI95 dilaksanakan untuk memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan tepat kepada rakyat Malaysia yang layak, maka pemantauan di stesen minyak penting untuk mengelak risiko ketirisan,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di stesen minyak Petronas Sungai Dua arah selatan di sini hari ini.

Jegan berkata semua transaksi jual beli melalui Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) dan BUDI95 direkodkan secara digital, membolehkan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih telus.

“Kita kena pastikan MyKad digunakan oleh pemilik yang sah dan kenderaan asing hanya mengisi petrol RON97. Untuk syarikat, pembelian petrol bersubsidi mesti menggunakan kad fleet yang diluluskan,” katanya. 

Jegan berkata setakat ini, sebanyak 15 stesen minyak diperiksa dengan semua transaksi berjalan lancar tanpa gangguan. 

“Kita hanya terima satu aduan teknikal berpunca daripada kesilapan pengguna sendiri semasa proses pengisian petrol dan bukan masalah sistem yang berjaya diselesaikan segera mengikut prosedur ditetapkan.

“Pengguna yang tidak faham (prosedur BUDI95) dinasihatkan meminta bantuan petugas stesen minyak. Kita faham penggunaan kali pertama mungkin agak mengelirukan, tapi sistem ini sebenarnya sangat mudah dan pantas,” katanya.

Menegaskan pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan, Jegan mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melakukan penyelewengan, manipulasi atau penyeludupan petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan