CYBERJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Pendaftaran bagi tuntutan bayaran balik tunai syarikat bot penumpang yang layak menerima subsidi petrol RON95 akan dibuka mulai 9 Okt ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan langkah itu diambil bagi memastikan pengusaha bot penumpang, khususnya yang beroperasi di kawasan pulau dan sungai, dapat terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan utama kepada masyarakat tanpa terbeban dengan kos operasi yang tinggi.
“Kerajaan telah bersetuju memasukkan syarikat bot penumpang dalam senarai sektor pengangkutan awam yang layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 9 Okt ini.
“Dengan ini, pengusaha boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik tunai melalui portal yang disediakan,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan Kad Fleet di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Armizan berkata hanya syarikat bot penumpang awam yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) layak mengemukakan tuntutan.
Selain itu, bot penumpang terbabit mestilah beroperasi di kawasan berpenduduk serta menyediakan perkhidmatan berjadual, seperti laluan Kudat-Pulau Banggi.
Sebagai langkah interim, katanya, kerajaan turut bersetuju membuat pembayaran balik tunai kepada syarikat bot penumpang yang memenuhi kriteria ditetapkan bagi pembelian petrol RON95 sepanjang tempoh 30 Sept hingga 31 Okt 2025.
“Pengusaha perlu memuat naik dokumen sokongan seperti sijil pendaftaran perniagaan, penyata bank, bilangan bot, nombor pendaftaran bot dan kapasiti enjin, selain mengemukakan resit pembelian petrol yang sah,” katanya.
Beliau berkata semua tuntutan lengkap akan disemak oleh agensi kawal selia pengangkutan air berkaitan serta pentadbir SKPS, sebelum bayaran balik dikreditkan terus ke akaun bank syarikat.
“Pembayaran balik tunai akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai,” katanya.
Menteri itu berkata bahawa inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kos operasi pengusaha bot penumpang, malah menjamin kelangsungan perkhidmatan pengangkutan air yang menjadi nadi mobiliti rakyat di kawasan pedalaman, sungai dan kepulauan.
“Kerajaan mahu memastikan rakyat terus mendapat akses pengangkutan yang selamat, berpatutan dan tidak terjejas oleh peningkatan kos bahan api,” katanya.
Sementara itu, menurut data SKPS setakat 2 Okt 2025 (sehingga 5 petang), sejumlah 9,712 syarikat dengan 20,713 kenderaan telah berdaftar sejak ia dibuka pada 15 Sept lepas.
Bagi laporan harian pada 2 Okt sahaja, sebanyak 243 syarikat pengangkutan awam dan 288 syarikat pengangkutan darat barangan mendaftar, menjadikan keseluruhan 531 syarikat dengan 786 kenderaan direkodkan pada hari berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial