DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Tidak Berubah Susulan Pendekatan Berhati-hati

30/09/2025 07:09 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia susut daripada kenaikan awalnya untuk ditutup tidak berubah pada Selasa apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman dasar dalam negara dan kebimbangan kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.93 mata atau 0.06 peratus kepada 1,611.88 daripada 1,610.95 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.87 mata lebih tinggi pada 1,611.82 dan berlegar-legar antara 1,608.69 hingga 1,619.11 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran hampir seimbang dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 557 kepada 549 manakala 503 kaunter tidak berubah, 1,006 tidak diniagakan dan 81 lagi digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.47 bilion unit bernilai RM3.16 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM2.47 bilion pada Isnin.

Pengarah IPPFA Sdn Bhd dan penganalisis ekonomi Mohd Sedek Jantan berkata dagangan hari ini bercampur-campur dengan saham pengguna serta utiliti mendahului kedua-dua kaunter untung dan rugi.

“Ia mencerminkan peralihan terpilih dan bukannya momentum menyeluruh. Ini menunjukkan pasaran yang sangat bergantung kepada saham-saham tertentu sementara menunggu pemangkin yang lebih jelas untuk menentukan hala tuju,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata aliran dana asing memberikan isyarat yang lebih membina dengan pelabur antarabangsa menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia semalam.

Katanya, ini mengukuhkan pandangan iaitu walaupun terdapat cabaran luaran, pasaran modal Malaysia kekal sebagai pilihan menarik di peringkat serantau dan disokong oleh asas domestik yang kukuh selain penilaian relatif yang menarik.

"Bagaimanapun, sentimen dijangka kekal dalam keadaan menunggu sementara pelabur menantikan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan.

"Perhatian akan tertumpu kepada kemungkinan pengumuman pelaburan utama yang boleh menetapkan semula rentak pasaran dan mempengaruhi kedudukan sektor,” tambahnya.

Sementara itu, penutupan kerajaan persekutuan AS yang semakin hampir berlaku berkemungkinan selepas pemimpin utama Demokrat dan Republikan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada Isnin, menurut laporan media.

Jika kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat, penutupan tersebut boleh bermula seawal Rabu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corporation naik tujuh sen kepada RM2.78, Sunway melonjak 11 sen kepada RM5.65, dan Tenaga meningkat lapan sen kepada RM13.22.

Petronas Dagangan bertambah 36 sen kepada RM22.94 manakala PPB meraih 20 sen kepada RM10.20.

Dalam kalangan saham paling cergas, NexG Bina, TWL dan Permaju masing-masing kekal pada 9.5 sen, 2.5 sen dan satu sen.

Zetrix AI turun satu sen kepada 85 sen manakala VS Industry meningkat satu sen kepada 59 sen.

Selain Petronas Dagangan dan PPB, antara kaunter yang mencatat kenaikan tertinggi termasuk Ayer yang meningkat 33 sen kepada RM7.50 manakala PJBumi melonjak 18 sen kepada RM2.78 dan Aeon Credit Service naik 18 sen kepada RM5.53.

Antara kaunter yang mengalami penurunan terbesar, Nestle susut 88 sen kepada RM96.22, MPI berkurang 38 sen kepada RM28.72 dan Hume Cement Industries merosot 16 sen kepada RM3.49.

Kluang Rubber turun 15 sen kepada RM5.55 manakala Panasonic Manufacturing Malaysia hilang 14 sen kepada RM8.40.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 2.55 mata kepada 11,985.89, Indeks FBM 100 merosot 1.34 mata kepada 11,722.62 tetapi Indeks FBM Emas Syariah melonjak 6.91 mata kepada 12,016.55.

Indeks FBM 70 menurun 37.26 mata kepada 16,746.59 manakala Indeks FBM ACE berkurang 18.55 mata kepada 5,171.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.29 mata kepada 171.46 dan Indeks Tenaga merosot 1.64 mata kepada 776.62.

Indeks Perladangan meningkat 8.01 mata kepada 7,119.58 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 17.15 mata kepada 18,246.73.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.87 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.03 bilion unit bernilai RM155.25 juta daripada 1.26 bilion unit bernilai RM191.47 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 565.69 juta saham bernilai RM170.09 juta daripada 815.25 juta saham bernilai RM195.92 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatat sebanyak 406.61 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (319.40 juta), pembinaan (91.47 juta), teknologi (202.24 juta), perkhidmatan kewangan (105.94 juta), hartanah (237.64 juta), perladangan (30.86 juta), REITs (20.74 juta), dana tertutup (306,900), tenaga (158.90 juta), penjagaan kesihatan (134.29 juta), telekomunikasi dan media (35.38 juta), pengangkutan dan logistik (49.07 juta), utiliti (78.29 juta) serta amanah perniagaan (48,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan