Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 29 Sept (Bernama) -- Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dijangka menjadi wadah penting dalam usaha memperkenalkan seni kraf warisan negara seperti kasut manik yang melambangkan identiti budaya Peranakan di Melaka.
Usahawan kasut manik Ong Bee Hong berkata usaha memperkenalkan seni warisan itu perlu dipergiat berikutan masih wujud salah faham dalam kalangan masyarakat yang menyangka kasut manik dihasilkan melalui tampalan, sedangkan ia sebenarnya hasil sulaman tangan yang bernilai tinggi.
“Lebih menyediahkan, ada yang menganggap kasut manik kuno dan tidak menarik kerana hanya lihat corak serta warna sama.
“Justeru, saya mahu jadikan TMM2026 sebagai platform menyedarkan masyarakat bawaha setiap pasang kasut manik dihasilkan adalah eksklusif kerana walaupaun corak seakan sama, kombinasi warna sentiasa berbeza,” katanya kepada Bernama.
Ong yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam seni pembuatan kasut manik berkata inisiatif Kraftangan Malaysia mempromosikan kasut manik di pentas dunia melalui pelbagai medium termasuk pameran di luar negara perlu diteruskan kerana keunikan kerja tangan ini menjadikan setiap pasang kasut istimewa dan bernilai.
"Kasut manik ini bukan sekadar aksesori atau hasil seni warisan kerana setiap pasang mempunyai cerita tersendiri dan keunikan sebeginilah yang digemari pelanggan luar negara.
"Kalau kita hanya simpan sebagai barang antik, ia akan hilang namun jika dihidupkan semula dengan bentuk baharu yang lebih segar, ia akan terus kekal bergenerasi lamanya. Lebih penting kasut manik yang hanya dibuat secara tempahan khas ini boleh disesuaikan dengan fesyen kontemporari," katanya.
Sementara itu, usahawan terompah mini Koo Su Fen berkata penganjuran TMM2026 bakal membuka ruang lebih besar untuk memperkenalkan produk kraftangan tempatan khusunya yang mencerminkan identiti bangsa, budaya dan negeri di pentas global.
"Untuk itu kepelbagaian saiz dan harga berpatutan bagi terompah mini Melaka ini menjadi fokus utama kami memandangkan permintaan terhadap produk ini bakal bertambah sepanjang penganjuran TMM2026.
"Antara persediaan kami adalah menyediakannya dalam saiz mesra pelancong untuk dijadikan tanda kenangan dengan reka bentuk merangkumi cita rasa kanak-kanak, remaja dan dewasa.
"Harganya pula berpatutan kerana kita memahami pelancong sudah banyak berbelanja dan masih mahu membeli tanda kenangan untuk dibawa pulang," katanya.
Koo berkata penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) juga menjadi batu loncatan terbaik bagi memperkenalkan produk kraftangan tempatan kepada pengunjung terutama delegasi asing yang hadir sejak 27 Sept lepas.
"Sepanjang tiga hari, maklum balas terutama daripada delegasi asing yang berkunjung ke reruai kami sangat memberangsangkan. Jadi ia memberi petunjuk kraftangan tempatan mempunyai potensi sangat baik di pasaran antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial