KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Penggubal dasar industri keluli ASEAN mencadangkan penubuhan Majlis Keluli ASEAN bagi mempertingkat kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) dalam industri keluli serantau, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Cadangan itu dibangkitkan semasa mesyuarat Penggubal Dasar Keluli ASEAN yang diadakan sebelumnya, yang disertai wakil serantau dari Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar.
Liew berkata majlis yang dicadangkan itu bertujuan menggalakkan lebih banyak perbincangan di peringkat G2G dan persatuan dalam rantau ini serta menyusun semula industri keluli dengan lebih teratur dan mampan.
“Sejak sekian lama, industri keluli telah mempunyai saluran melalui Institut Besi dan Keluli Asia Tenggara (SEAISI). Bagaimanapun, kerajaan di rantau ini tidak pernah mengadakan libat urus antara satu sama lain mengenai industri keluli.
“Kami berpendapat telah tiba masanya untuk mengadakan perbincangan G2G dan perbincangan seluruh ASEAN berkaitan industri keluli. Oleh itu, kami mencadangkan penubuhan Majlis Keluli ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan Industri Keluli 2025 anjuran Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) di sini malam ini.
Liew berkata majlis yang dicadangkan itu akan menekankan lima agenda utama termasuk pengurusan kapasiti, penyahkarbonan, piawaian keluli untuk bangunan bertingkat tinggi, kerjasama teknikal dan remedi perdagangan.
“Selain itu, saya juga ingin melibatkan China dalam majlis ini. Baru-baru ini saya ke Beijing dan bertemu dengan Persatuan Besi dan Keluli China, dan saya sangat tertarik dengan tahap kemajuan mereka,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata permintaan keluli di ASEAN semakin meningkat, dengan penggunaan nyata di ASEAN-6 mencecah 74 juta tan pada 2023, menghampiri paras tertinggi prapandemik iaitu 80 juta tan pada 2018 hingga 2019.
Mengulas mengenai mesyuarat pertama Penggubal Dasar Keluli ASEAN dan Forum Keluli ASEAN 2025, Liew berkata delegasi Filipina selaku Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan telah memutuskan untuk meneruskan penganjuran acara ini.
“Oleh itu, pada tahun depan mereka akan mengadakannya di Filipina dan kami akan turut serta,” kata Liew.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial