DUNIA

Penduduk Singapura Meningkat Kepada 6.11 Juta

29/09/2025 10:24 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 29 Sept (Bernama) -- Jumlah penduduk Singapura setakat Jun tahun ini adalah seramai 6.11 juta, peningkatan sebanyak 1.2 peratus dari Jun 2024 sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan penduduk bukan pemastautin (NR), menurut laporan "Population in Brief 2025" yang dikeluarkan pada Isnin.

Bagaimanapun, negara kota itu terus berdepan dengan isu penduduk yang menua dan trend kelahiran yang merosot.

Laporan itu menyatakan terdapat 4.2 juta penduduk yang terdiri daripada 3.66 juta warganegara Singapura dan 0.54 juta Penduduk Tetap (PR) manakala populasi NR - yang merangkumi tenaga kerja asing, tanggungan dan pelajar antarabangsa - meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 1.91 juta.

Penduduk warganegara Singapura meningkat sebanyak 0.7 peratus (daripada 3.64 juta kepada 3.66 juta), manakala populasi PR kekal stabil.

"Penduduk NR pula adalah pelbagai manakala saiz serta komposisinya berubah mengikut keperluan ekonomi dan sosial kita," menurut laporan itu.

Sementara itu, jumlah penduduk warganegara yang berusia 65 tahun ke atas semakin meningkat pada kadar yang lebih pantas berbanding dekad lalu, manakala bilangan warganegara berusia 80 tahun ke atas juga meningkat kira-kira 60 peratus daripada 91,000 pada 2015 kepada 145,000 pada 2025.

"Menjelang 2030, kira-kira satu daripada empat warganegara (23.9 peratus) akan berusia 65 tahun ke atas," menurut laporan itu.

Sementara itu, jumlah perkahwinan warganegara pada 2024 adalah sebanyak 22,955 - 5.7 peratus lebih rendah berbanding angka pada 2023.

Umur median bagi perkahwinan pertama untuk pengantin lelaki dan perempuan dalam kalangan warganegara masing-masing adalah 30.8 dan 29.1 tahun pada 2024, meningkat daripada 30.1 dan 27.9 tahun pada 2014.

Selain itu, terdapat 29,237 kelahiran warganegara pada tahun lepas, berbanding 28,877 pada 2023.

Bagaimanapun, purata jumlah kelahiran setahun dalam tempoh lima tahun terakhir (30,400) adalah lebih rendah berbanding lima tahun sebelumnya (32,900).

Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk yang menurun sejak beberapa dekad lalu, ialah 0.97 pada 2024, tidak berubah daripada 2023.

Sementara itu, seramai 22,766 individu telah diberikan kewarganegaraan dan 35,264 yang lain diberikan status penduduk tetap pada 2024.

"Population in Brief 2025" merupakan penerbitan bersama Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), Jabatan Perangkaan, Kementerian Dalam Negeri, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan dan Kementerian Tenaga Manusia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan