AM

Festival Permainan Malaysia 2025 Berlangsung Meriah, Bernama Raih Satu Emas

28/09/2025 10:44 PM

PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Penampilan  sulung Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Festival Permainan Malaysia@Putrajaya 2025 (FPM@Putrajaya 2025) membuahkan hasil apabila meraih pingat emas dalam acara bola sepak kain sarung.

Kontinjen Bernama yang terdiri daripada 110 petugas itu menyertai sembilan acara permainan tradisional pada festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), yang kini memasuki edisi ke-10.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Bernama menyahut cabaran daripada JKKN selaku penganjur festival bagi menyertai FMP@Putrajaya 2025, sekali gus menyemarakkan acara permainan tradisional. 

“Walaupun kali pertama (menyertai (FMP), kami menghantar satu kontinjen yang besar iaitu sebanyak 110 orang yang menyertai sembilan pertandingan permainan tradisional ini,” katanya ketika ditemui pada FPM@Putrajaya 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Nur-ul Afida berkata kontinjen Bernama dilihat mempamerkan semangat juang tinggi dan bersemangat dalam memeriah festival sukan tradisional pada tahun ini. 

“Bila Bernama menyertai apa-apa juga pertandingan, semangat kesukanan dan semangat bersatu padu bersama petugas itu sangat-sangat baik.

“Kita boleh lihat daripada perancangan mereka baik dalam kumpulan sorak hinggalah kepada persiapan mencantikkan reruai kita dengan konsep-konsep bercirikan tradisional,” katanya.

Sementara itu, Arul berkata FPM penting bagi mengangkat permainan tradisional ke tahap lebih tinggi, sekali gus menghidupkan permainan yang semakin dilupakan itu.

“Kita perlu hidupkan semula (permainan tradisional) terutama dengan generasi muda,” katanya.

Festival yang kini memasuki edisi ke-10 itu menghimpunkan 2,436 peserta daripada tiga kategori utama iaitu Badan Beruniform, Sektor Korporat dan Institusi Pengajian Tinggi, yang berentap dalam pelbagai permainan tradisional.

Antara acara dipertandingkan adalah tarik tali tradisional, kelereng, tuju tin, batu seremban, galah panjang, sepak raga ratus dan bola sepak kain sarung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan