PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Permainan tradisional wajar dijadikan pengisian wajib dalam setiap penganjuran program, bukan hanya bergantung kepada festival khusus semata-mata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.
Beliau berkata permainan tradisional itu sendiri merupakan inti pati serta tarikan utama yang boleh diketengahkan oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Banyak elemen dalam permainan tradisional boleh diinovasikan sebagai aktiviti penyertaan rakyat. Usaha memperkasakannya perlu dilaksanakan secara berterusan dan diberikan keutamaan dalam setiap program,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Permainan Malaysia@Putrajaya 2025 (FPM@Putrajaya 2025) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang menerima plak penghargaan sebagai rakan penganjur FPM@Putrajaya 2025 daripada Mohd Amran.
Menurut beliau, festival yang sebelum ini dianjurkan di Kuala Lumpur sejak sembilan tahun lepas, kali pertama dipindahkan ke Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai penyedia lokasi.
Mohd Amran berkata antara permainan tradisional yang dipertandingkan pada edisi kali ini ialah galah panjang, batu seremban, tarik tali, menyumpit dan memanah, yang kesemuanya tersenarai dalam 25 permainan tradisional berdaftar sebagai Warisan Kebangsaan.
“Tahun ini pertandingan dibuka kepada tiga kategori iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA), badan beruniform dan sektor korporat,” katanya.
Beliau berkata penganjuran FPM@Putrajaya 2025 selama tiga hari itu menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung, berbanding hampir 150,000 orang yang direkodkan dalam tempoh empat hari penganjuran tahun lepas.
Sementara itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Mohd Irwan Mohd Isa, 43, yang pertama kali menyertai festival berkenaan berkata beliau bersama sembilan rakan sepasukan mengambil bahagian dalam acara kelereng iaitu pertandingan menolak rim basikal menggunakan kayu.
“Kami mahu mengembalikan permainan dahulu kala kepada generasi sekarang yang mungkin tidak mengenali nama atau cara permainan lama ini. Kalau tidak mahir memang susah, kena fokus bagaimana menolak rim basikal supaya tidak jatuh,” katanya.
Bagi pegawai Maritim Malaysia Rezzal Muhammad Hazmi, 38, penyertaannya dalam acara memanah tradisional adalah kali keempat sejak festival itu dianjurkan.
“Setakat ini saya belum pernah menang, tetapi tahun ini sasaran saya adalah untuk membawa pulang kejuaraan. Saya suka terlibat dalam acara seperti ini kerana ia mengeratkan hubungan antara peserta selain mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial