PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Festival Permainan Malaysia (FPM) khusus untuk pengamal media akan diadakan pada awal November ini sebagai usaha menghidupkan semula permainan tradisional serta memupuk kerjasama dalam kalangan petugas media.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata FMP itu akan dianjurkan Bernama selaku Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dengan festival itu dijangka diadakan di ibu negara.
“Kita harap banyak pihak media akan menghantar pasukan untuk menyertai permainan itu nanti,” katanya selepas menghadiri Festival Permainan Malaysia@Putrajaya 2025 (FPM@Putrajaya 2025) di sini hari ini.
Arul berkata FMP membabitkan pengamal media itu turut menampilkan acara sukan seperti bola sepak dan bola jaring.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penganjuran Sukan HAWANA akan diterapkan dalam Kalendar HAWANA bermula tahun ini.
Fahmi berkata kejohanan tahunan itu akan melibatkan skala lebih besar dengan penyertaan banyak pengamal media termasuk dari negeri, selain turut boleh memperkenalkan sukan tradisional seperti karom, dam aji dan sebagainya.
HAWANA yang pertama kali disambut 11 April 2018, dikelolakan Bernama selaku agensi pelaksana acara tahunan, bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi industri.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari HAWANA, bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada tarikh berkenaan pada 1939.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial