KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengenal pasti sebarang asas kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM).
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, isu itu dilihat sebagai berkaitan proses teknikal dan berada di luar bidang kuasa SPRM.
“Kami telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai sebahagian daripada siasatan awal.
“Hasil daripada kerjasama tersebut, SPRM telah dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyelesaikan isu berkenaan bersama badan induk bola sepak dunia itu.
SPRM turut menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak terlibat.
Media sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial