AM

Malaysia Dalam Fasa Dua Pembangunan Penyiaran 5G

25/09/2025 04:17 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia kini dalam fasa kedua pembangunan penyiaran 5G untuk menentukan hala tuju teknologi itu, selepas dua tahun melalui fasa pertama yang menumpukan kepada aspek penyelidikan dan libat urus industri. 

Ketua Kumpulan Test Bed Siaran 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohamad Hafizal Mohamed Ariffin berkata fasa semasa itu bertujuan membuktikan sama ada konsep penyiaran satu hala berasaskan rangkaian 5G boleh dilaksanakan secara praktikal.

Mohamad Hafizal yang juga Pengurus Kejuruteraan Penyiaran Alhijrah Media Corporation berkata walaupun teknologi berkenaan masih di peringkat ujian dan belum matang dari segi ekosistem peranti serta pemancar, beberapa ujian awal yang dijalankan menunjukkan potensi besar dalam pelaksanaannya pada masa hadapan.

“Cabaran utama adalah dari segi kesediaan sistem, baik dari segi pemancar, cip dalam peranti mahupun kestabilan sambungan. Secara teorinya, teknologi ini berfungsi dan boleh dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Penyiaran 5G anjuran MCMC di sini hari ini. 

Teknologi Penyiaran 5G merupakan evolusi terkini dalam bidang telekomunikasi yang membolehkan kandungan disiarkan terus kepada peranti mudah alih tanpa memerlukan sambungan internet tradisional. 

Tidak seperti rangkaian mudah alih konvensional yang menumpukan kepada komunikasi dua hala, penyiaran 5G membolehkan penghantaran isyarat siaran satu-ke-banyak secara serentak dengan kualiti tinggi dan liputan lebih meluas melalui frekuensi 'Ultra High Frequency' (UHF) yang digunakan untuk siaran televisyen terestrial.

Mengenai kekangan teknikal yang dihadapi, Mohamad Hafizal berkatan siri ujian dijalankan menggunakan beberapa peranti mudah alih sedia ada di pasaran seperti Xiaomi 12 dan OnePlus 10 Pro (setakat ini), namun hasilnya masih tidak konsisten. 

"Masalah seperti kelewatan siaran, siaran tergendala dan kestabilan sambungan menjadi antara isu utama.

“Kita tahu cip dalam sesetengah peranti menyokong 5G Broadcast, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada pengeluar. Jadi bila diuji, ada masanya berfungsi dengan baik, dan ada masanya tidak stabil,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mula meneroka potensi penggunaan teknologi penyiaran 5G atau '5G Broadcast' bagi melengkapi kaedah penyampaian sektor penyiaran negara.

Persidangan Penyiaran 5G hari ini akan menjadi platform utama untuk mempersembahkan hasil simulasi, penemuan utama dan demonstrasi teknologi yang telah diuji dalam sesi test-bed terbabit.

Persidangan sehari itu juga akan menjadi landasan utama untuk kolaborasi industri, perkongsian maklumat teknikal serta perbincangan strategik antara MCMC, pemain industri, penyiar dan pihak berkepentingan dalam menilai kesediaan pasaran dan potensi aplikasi teknologi penyiaram 5G dalam ekosistem penyiaran khususnya di peringkat nasional dan rantau ASEAN.

Hasil daripada pelaksanaan inisiatif projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penyiar, penggubal dasar dan pemain industri yang lain serta menjadi penanda aras penting bagi melihat keperluan pembangunan pembuktian konsep atau Proof-of-Concept (PoC) bagi teknologi itu.

Malaysia kini berada di hadapan dalam rantau ASEAN dari segi penerokaan teknologi penyiaran 5G.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan