EKONOMI

ASEAN Terus Teguh dan Bersatu, Pertingkat Integrasi Ekonomi

27/09/2025 12:17 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Negara ekonomi Asia Tenggara telah menyuarakan mesej jelas bahawa pasaran mereka masih terbuka kepada perniagaan walaupun berdepan dengan langkah perlindungan dan tarif mencabar yang menjejaskan perdagangan bebas serta menimbulkan pelbagai ketidaktentuan di seluruh dunia.

Penghargaan sewajarnya diberikan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM).

Beliau muncul sebagai individu penting yang menyemarakkan perpaduan di samping memastikan mesyuarat AEM kekal tertumpu untuk memperdalam integrasi serantau meskipun terdapat tekanan luaran daripada pihak yang tidak mematuhi peraturan perdagangan multilateral.

Fokus ASEAN yang sepenuhnya adalah untuk muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 walaupun mengalami perubahan dinamik geopolitik -- matlamat yang menekankan bahawa tidak berbaloi untuk membalas tindakan ekonomi kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) kerana ia tidak mungkin memberi manfaat kepada mana-mana pihak.

Antara pencapaian dalam mesyuarat AEM yang disifatkan amat berjaya adalah “perkembangan positif” 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), kerjasama digital dan komitmen untuk menyokong program pembinaan kapasiti bagi menguatkan lagi penyertaan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober.

Tengku Zafrul giat mengendalikan lebih 20 mesyuarat dan terlibat secara konstruktif dengan 10 negara ASEAN dan 11 rakan dialog sepanjang tempoh lima hari, memimpin usaha ASEAN untuk menolak trend pemecahan pasaran global.

Bagaimanapun, tidak semuanya berjalan dengan mudah. Sebelum Mesyuarat AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan bersama-sama rakan dialog berakhir hari ini, AS telah mengenakan tarif tambahan ke atas produk farmaseutikal.

Bagaimanapun ASEAN tidak goyah, sebaliknya memilih untuk bersikap proaktif dalam menangani cabaran itu berbanding mengenakan tindakan balas.

Maklum balas daripada kuasa besar dunia termasuk AS dan China serta pemain baharu seperti Chile dan Bangladesh yang tidak hadir secara fizikal di Kuala Lumpur namun menyaksikan rapat perjalanan mesyuarat ini, membuktikan bahawa ASEAN semakin terbukti sebagai rantau ekonomi yang menguntungkan dan strategik.

Sesi libat urus aktif telah diadakan membabitkan rakan dialog seperti AS, China, Rusia, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, India, Kesatuan Eropah, United Kingdom, Switzerland, Kanada dan Hong Kong.

Perbincangan itu menonjolkan tindakan pengimbangan ASEAN dalam mengemudi peningkatan perlindungan dan langkah unilateral di samping memastikan pasarannya terbuka dan berdaya saing.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer memuji peranan Tengku Zafrul dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN berikutan usaha memperteguh rantaian bekalan dan meluaskan akses pasaran.

Dalam mesyuarat dua hala, Tengku Zafrul mengesahkan bahawa Malaysia dan AS berhasrat untuk memuktamadkan rundingan tarif sebelum lawatan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia pada Oktober ini.

“Tempoh lima hari ini telah berlangsung secara konstruktif apabila kalangan menteri ASEAN menjalin kerjasama dengan rakan seluruh dunia. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, kami semua bersetuju bahawa perdagangan dan pelaburan perlu diteruskan,” kata Greer kepada Bernama.

 

Minat Semakin Meningkat Terhadap ASEAN

 

Rakan Dialog turut mengakui ASEAN kini merupakan titik tumpuan penting dalam rantaian bekalan global.

China, Jepun, dan Korea Selatan pula menegaskan semula komitmen mereka di bawah rangka ASEAN +3 iaitu berikrar untuk memperdalam kerjasama dalam rantaian bekalan semikonduktor, perdagangan digital, pertumbuhan hijau dan kestabilan kewangan serantau.

Perdagangan dengan ketiga-tiga negara itu mencapai US$1.2 trilion tahun lepas, hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ASEAN manakala pelaburan langsung asing menyumbang hampir 20 peratus daripada aliran masuk.

Selain itu, minat terhadap perjanjian perdagangan utama ASEAN iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga semakin berkembang.

Hong Kong, Sri Lanka, Chile dan Bangladesh menyatakan hasrat untuk menyertai RCEP dengan para menteri  menggesa supaya proses penyertaan dipercepatkan.

ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand turut bersetuju untuk mengkaji semula RCEP supaya ia kekal relevan dalam ekonomi global yang pesat berkembang.

 

Pencapaian Kepengerusian Malaysia

 

Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN kali kelima sejak 1977, meneraju beberapa pencapaian utama.

Antaranya adalah kejayaan memuktamadkan rundingan menaik taraf ATIGA, yang bertujuan untuk mendorong integrasi serantau ke tahap yang lebih tinggi dan penubuhan Majlis Penyelarasan Rantaian Bekalan ASEAN (ASCCC) bagi meningkatkan daya tahan di bawah Rangkaian Pembuatan ASEAN.

Mesyuarat persediaan melaporkan kemajuan 15 daripada 18 PED Malaysia manakala Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dinaik taraf dijangka ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada Oktober depan.

Pencapaian lain adalah pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Persaingan (AFAC), yang mencerminkan hasrat blok itu untuk menggalakkan persekitaran perniagaan yang adil dan berasaskan peraturan bagi mencapai pasaran tunggal pada masa hadapan.

Di peringkat luaran, ASEAN dan Kanada mencatatkan kemajuan kukuh dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas yang disasar dimuktamadkan tahun depan.

Kanada berkata perjanjian itu akan mengukuhkan hubungan pelaburan dan menyokong matlamat pertumbuhan dan kepelbagaian kedua-dua pihak.

Sementara itu, Perundingan AEM-USTR pula komited untuk menjalin kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN, khususnya dalam ekonomi digital.

ASEAN juga meneruskan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), yang akan dimeterai bulan depan, yang mana diunjur menggandakan ekonomi digital rantau ini kepada US$2 trilion menjelang 2030.

Begitu juga, Switzerland menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan ASEAN dan membayangkan hasrat meneliti pakatan serantau seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan RCEP.

 

Seruan Anwar Kepada Kepimpinan

 

Ketika majlis Makan Malam Gala AEM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN supaya menyerlahkan kepimpinan dalam menghadapi cabaran global.

Beliau menyeru kalangan menteri untuk memperkukuh rantaian bekalan, memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, melabur dalam kelestarian serta menerima guna inovasi.

Anwar juga berkata dalam melangkah ke hadapan, penerimaan masuk Timor-Leste dalam ASEAN menjelang akhir Oktober ini akan menjadi satu lagi pencapaian penting, sekali gus memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kerelevanan blok ini.

Terdahulu dalam minggu ini, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn telah bertemu dengan Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste Filipus Nino Pereira bagi membincangkan penyertaan negara itu dalam perjanjian ekonomi ASEAN sebagai persediaan untuk keanggotaan penuh pada 2025.

 

Laluan Seterusnya Sedia Menanti

 

Melangkah ke hadapan, ASEAN dijangka memuktamadkan beberapa perjanjian utama ketika Sidang Kemuncak pada Oktober ini, termasuk ACFTA 3.0, ATIGA yang dipertingkatkan serta Perjanjian Rangkuman Perdagangan ASEAN-India.

ASEAN dan CPTPP juga akan mengadakan dialog rasmi pertamanya pada November manakala Korea Selatan telah mengesahkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea yang dipertingkatkan akan diumumkan bulan hadapan.

Mesyuarat di Kuala Lumpur memperjelas mesej bahawa ASEAN komited untuk memperkukuh daya tahannya di samping beralih ke arah pertumbuhan dipacu pengetahuan dan nilai tambah dalam dunia yang semakin dipengaruhi ketidaktentuan dan perpecahan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan