AM

Latihan Pengurusan Kewangan Untuk Guru Seluruh Negara Bermula Oktober

26/09/2025 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Program Latihan Jurulatih (TTT): Pengurusan Kewangan Peribadi untuk Guru, yang diterajui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan dikendalikan oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO), akan diperluas kepada para guru di peringkat daerah bermula Oktober.

FINCO dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa program itu, bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan guru dalam pengurusan kewangan peribadi bagi mengatasi kelemahan dan mengukuhkan daya tahan kewangan, tetapi juga menjadikan mereka sebagai teladan kewangan positif kepada pelajar dan komuniti, selain meningkatkan keyakinan dan keupayaan guru dalam menyampaikan pendidikan kewangan secara berkesan di sekolah.

Menurut kenyataan itu, program yang dijalankan dari Ogos hingga September di Lembah Klang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan Sabah itu, melibatkan 147 orang guru sekolah kerajaan serta 26 pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Data akhir pascalatihan menunjukkan peningkatan ketara dalam keyakinan guru untuk berkongsi pengetahuan kewangan dengan orang lain iaitu daripada 41 peratus kepada 89 peratus.

“Peserta juga menunjukkan peningkatan keupayaan dalam memahami dan mengaplikasikan pengetahuan asas, kemahiran dan nilai kewangan dalam membuat keputusan kewangan, meningkat daripada 71 peratus kepada 88 peratus,” menurut kenyataan itu.

FINCO dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa, melatih seorang guru dari setiap daerah di seluruh Malaysia akan dapat memastikan apabila mereka dilantik sebagai jurulatih utama, akan wujud satu rangkaian jurulatih pada peringkat akar umbi di seluruh negara, dengan kandungan latihan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan demografi yang berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINCO Clare Walker berkata apabila guru diberikan ilmu dan alat untuk mengurus kewangan mereka sendiri, mereka bukan sahaja dapat memperbaiki kesejahteraan kewangan diri, malah lebih bersedia untuk menyampaikan pendidikan kewangan dengan yakin serta memindahkan kemahiran praktikal kepada pelajar.

“Ramai pelajar menunjukkan tahap pengetahuan kewangan yang lemah, dengan pendedahan yang sedikit terhadap pengurusan wang dalam kehidupan sebenar. Walaupun guru berada pada kedudukan terbaik untuk mempengaruhi tingkah laku kewangan, ramai yang tidak mempunyai latihan berstruktur dan sumber yang praktikal,” katanya dalam kenyataan itu.

Dengan sumbangan daripada rakan kongsi seperti Kumpulan AmBank, Bank Muamalat Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Yayasan CIMB, Hong Leong Bank, Public Bank, RHB Bank dan Sea Ltd, FINCO memaklumkan bahawa peserta didedahkan kepada enam topik kewangan utama iaitu simpanan dan pengurusan aliran tunai, pengurusan hutang, pengurusan risiko kewangan peribadi, pelaburan dan kesedaran tentang penipuan, literasi kewangan digital dan perancangan persaraan.

“Kandungan untuk topik-topik ini dibangunkan dan disampaikan oleh Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Suruhanjaya Sekuriti dan FINCO,” menurut kenyataan itu.

Selain input daripada pakar industri kewangan, FINCO memaklumkan bahawa setiap sesi latihan turut menganjurkan TTT Marketplace, dengan para guru berpeluang meneroka pelbagai sumber pendidikan kewangan yang tersedia untuk pelajar, serta berinteraksi secara langsung dengan AKPK, KWSP, bank-bank dan syarikat insurans, bagi memperkukuh pemahaman mereka terhadap perkhidmatan dan produk kewangan.

Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim yang mengulas mengenai sokongan industri kewangan terhadap program TTT berkata komitmen bersama seperti ini, menyerlahkan dedikasi industri dalam melindungi kesejahteraan kewangan serta melabur dalam pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Kesan riak daripada inisiatif ini akan melangkaui bilik darjah, bukan sahaja memperkasakan guru, tetapi juga golongan muda dan keluarga mereka yang akan dilengkapi dengan ilmu dan ketahanan untuk mengharungi cabaran kewangan sebenar. Kerjasama ini, contoh bagaimana kepimpinan industri mampu mencetuskan perubahan yang memberi manfaat kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan