KUALA LUMPUR, 19 (Ogos) -- Pengurusan kewangan negara mesti dilaksanakan secara berhemah dan berdisiplin, selaras dengan semangat Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), iaitu platform penting dalam merangka dasar fiskal yang jelas dan menentukan hala tuju ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI perlu terus mencari keseimbangan antara usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
"Meskipun dunia masih bergelut dengan ketidaktentuan, ekonomi negara kekal kukuh dengan kadar pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025.
“Kadar pengangguran juga telah menurun kepada paras tiga peratus, iaitu yang terendah dalam tempoh 10 tahun,” kata Anwar dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2024, satu pencapaian yang membuktikan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berasingan sempena mesyuarat FPC hari ini berkata, ketika Kerajaan MADANI melangkah ke fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), ruang fiskal mesti dimanfaatkan sepenuhnya.
Kementerian berkata langkah ini bagi memastikan penjanaan pelaburan awam yang mampu mengubah ekonomi negara secara menyeluruh (menaikkan siling) dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat (menaikkan lantai).
Perdana Menteri dalam kenyataan yang sama berkata pada 2025, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar antara 4.0 hingga 4.8 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, inflasi yang sederhana serta pasaran buruh yang stabil.
“Mesyuarat FPC hari ini turut menegaskan iltizam kerajaan untuk mengekalkan sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025, dan seterusnya mengurangkan defisit kepada tiga peratus atau lebih rendah dalam tempoh jangka sederhana, selaras dengan peruntukan di bawah FRA,” kata beliau.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat kali ini juga merupakan platform penting dalam menetapkan trajektori fiskal kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt 2025.
MOF berkata selaras dengan peruntukan FRA, Kerajaan MADANI sedang melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memperluas asas hasil negara dan mewujudkan sistem percukaian yang lebih progresif, di samping memperkukuh pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa.
“Bagi fasa seterusnya, fokus utama kerajaan adalah memastikan ketirisan dapat ditangani dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kecekapan melalui pelaksanaan sistem e-invois secara berperingkat.
“Segala usaha ini menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk membina rangka kerja fiskal yang lebih adil, berdaya tahan dan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat,” kata kementerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial