KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kehilangan minat dalam kerjaya dikenal pasti sebagai punca utama guru memilih untuk bersara awal, selain faktor masalah keluarga dan kesihatan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata berdasarkan data kementerian, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.
“Masalah keluarga mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas 5.37 peratus dan masalah peribadi (2.08 peratus),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai penilaian Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap keberkesanan mekanisme pengurusan beban kerja sedia ada termasuk sokongan psikologi, bagi memastikan kesejahteraan guru terjamin.
Menjawab soalan asal Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu jumlah guru yang memilih untuk bersara awal bagi 2022 hingga 2024, Wong berkata sehingga Mei, sebanyak 2,397 guru telah bersara awal, manakala bagi tahun lepas pula merekodkan 5,082 guru, 2023 (6,394 orang) dan 2022 (5,306 orang).
“Jumlah guru bersara awal dari 2022 hingga 2024 secara puratanya sebanyak 5,594 orang setahun,” katanya.
Bagi menangani isu kekurangan tenaga pengajar serta memastikan kesejahteraan guru, Wong berkata KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru.
“KPM telah membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah KPM melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021. KPM juga telah membangunkan dokumen deskripsi tugas sejak 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas yang spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata KPM juga mengambil pendekatan holistik dan progresif dalam memastikan guru kekal bermotivasi menerusi inisiatif tujuh langkah kesejahteraan guru yang berfokuskan kepada pedagogi guru, pentaksiran, pengoperasian sekolah, penilaian peperiksaan dan pengurusan serta pentadbiran sekolah.
“Rumusan laporan tinjauan pelaksanaan inisiatif itu yang dilaksanakan pada Disember 2024 melibatkan 1,007 sekolah di seluruh negara menunjukkan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut terbukti berjaya dalam keberkesanan pelaksanaannya.
“Pelaksanaan inisiatif ini juga menunjukkan hasil yang positif berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) pada November 2024 sehingga Januari 2025. Kajian tersebut melibatkan seramai 23,625 responden guru yang mencatat skor pada tahap tinggi iaitu 77.65 daripada skala maksimum 100,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial