DUNIA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Lebih Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Lain

26/09/2025 07:44 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan unjuran kadar faedah AS yang masih tidak menentu serta tindakan Donald Trump yang meningkatkan perang perdagangannya dengan dunia melalui lebih banyak pengumuman tarif.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2200/2250 berbanding dolar AS daripada 4.2085/2120 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para peniaga kekal berhati-hati berikutan ketiadaan panduan yang jelas daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.

Presiden AS itu mengumumkan tambahan kepada tarif timbal balik secara menyeluruh yang dikenakan di peringkat global iaitu duti baharu ke atas produk tertentu termasuk ubat-ubatan, trak berat dan perabot yang akan berkuat kuasa 1 Oktober.

“Kenyataan dasar yang tidak menentu daripada Trump terus memburukkan unjuran, menjadikan sukar bagi para pelabur untuk membentuk pandangan kukuh dan kedudukan dagangan,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Beliau berkata mata wang tempatan bergerak dalam julat kecil hari ini, diniagakan antara RM4.2193 dan RM4.2288 berbanding dolar AS.

Turut menjadi tumpuan hari ini iaitu pengumuman data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini iaitu ukuran inflasi pilihan Fed.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8171/8206 daripada 2.8283/8308, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.6345/6412 daripada 5.6600/6647 dan naik berbanding euro kepada 4.9281/9340 daripada 4.9429/9470 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan secara bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia bertambah berbanding baht Thailand kepada 13.0587/1069 daripada 13.0959/1133 dan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2630/2671 daripada 3.2662/2692 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 252.1/252.5 daripada 251.2/251.5 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.25/7.27 berbanding 7.24/7.25 semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan