KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Sebanyak 78 sekolah di Sabah, melibatkan 68 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah, dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata daerah Beaufort merekodkan jumlah sekolah terjejas tertinggi iaitu 35 sekolah, diikuti Papar (20), Penampang (enam), Nabawan (lima), Keningau, Sipitang dan Tenom masing-masing tiga, Tambunan (dua) dan Kota Belud (satu).
“Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan terbaik serta kelancaran operasi persekolahan,” katanya pada sidang media di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, kira-kira 50 peratus sekolah terjejas sudah siap dibersihkan manakala kerja pembersihan pascabanjir sedang diteruskan dengan bantuan sukarelawan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Beliau berkata Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) turut menyalurkan bantuan kewangan kepada 50 sekolah terjejas, selain Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kecemasan sebanyak RM300 kepada setiap murid yang layak.
Selain itu, insurans takaful diberikan kepada mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh, manakala Yayasan Didik Negara (YDN) menyumbang kelengkapan sekolah kepada institusi yang terkesan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kementerian Pendidikan akan mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan blok asrama baharu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.
“Sebagai langkah jangka pendek, IPGM akan menyewa premis berhampiran untuk dewan kuliah, selain beberapa bangunan lain turut dikenal pasti bagi menggantikan kelas dan bilik kuliah di blok yang terkesan,” katanya.
Pada 18 Sept lepas, kementerian mengarahkan pengosongan segera bangunan kuarters berhampiran lokasi tanah runtuh di institut berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial