KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat terus memelihara dan mengekalkan perpaduan yang sudah sekian lama terbina agar Malaysia sentiasa aman damai serta terus disegani oleh pemimpin-pemimpin negara luar.
Beliau berkata semua kaum di Malaysia khususnya para pemimpin perlu terus menjaga dan menyatukan komuniti masing-masing serta mengelakkan sebarang perbalahan yang boleh meruntuhkan perpaduan.
“Oleh itu, saya tidak mahu Sabah bergaduh dengan Selangor, Selangor gaduh dengan Sarawak, Perlis gaduh dengan Kelantan atau Cina gaduh dengan Melayu, Kadazan atau lain-lain…
“Sebab itu, setiap negeri kena jaga negeri masing-masing… saya tidak mahu ada negeri yang rosak…untuk kita jadi baik, kita mahu Sabah dan Malaysia menjadi nombor satu di Asia… tetapi kita perlu bersatu,” katanya.
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pada Oktober ini, ramai pemimpin negara luar telah berjanji untuk datang ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Siapa yang akan datang? Perdana Menteri China, India, Kanada, Itali dan Presiden Amerika (Syarikat), Rusia, Brazil, Afrika Selatan… Presiden Rusia juga mahu datang walaupun belum disahkan namun apa yang penting, semua pemimpin dari sebelas negara Asia akan datang,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan perasaan bangga kerana pemimpin negara luar menyegani serta hormati Malaysia yang meskipun dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama namun dapat bersatu serta hidup dengan harmoni.
“Oleh itu, kita kena kekalkan perpaduan ini… seperti hari ini, saya diberikan ini (topi Sigah) dan saya amat bangga serta hormat budaya ini.
"Di rumah, saya tidak pakai ini namun kita kena raikan bersama... ini cara kita dan ini tidak menyalahi budaya serta agama… ini prinsip kita kalau bersatu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial