DUNIA

Pakistan Ucap Terima Kasih Kepada Malaysia Atas Bantuan Banjir

26/09/2025 11:00 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 26 Sept (Bernama) -- Pakistan pada Jumaat merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang ditawarkan susulan banjir besar yang melanda negara itu pada musim monsun ini.

“Kami amat menghargai kerajaan dan rakyat Malaysia atas keprihatinan menghulurkan sokongan tepat pada masanya terhadap usaha bantuan banjir di Pakistan. Bencana berulang akibat perubahan iklim ini terus menekankan keperluan mendesak tindakan global secara kolektif mengenai perubahan iklim,” menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu hantaran di media sosial.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia juga turut serta dalam usaha bantuan banjir di Pakistan.

Wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Khamis berkongsi butiran kerja bantuan mereka bersama Kaunselor di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Mohd Syafik Firdaus.

Syafik menyuarakan harapan agar lebih banyak NGO Malaysia tampil memberi bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas banjir di Pakistan.

Banjir akibat hujan lebat itu menjejaskan lebih lima juta penduduk, memusnahkan 4,100 kampung dan meragut lebih 1,000 nyawa, menurut angka rasmi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan