JENAYAH & MAHKAMAH

Atmosphere 360: Kerajaan, Empat Pihak Lain Berjaya Batal Saman Asian Kitchen

24/09/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan empat lagi untuk membatalkan saman difailkan Asian Kitchen (M) Sdn Bhd berhubung dakwaan penamatan perjanjian pengendalian restoran berputar Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.

Selain kerajaan, empat pihak lain selaku defendan ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Hydroshoppe Sdn Bhd, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan anak syarikatnya, MKL Cuisine Sdn Bhd.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan perundangan berkenaan terhadap kerajaan dan Fahmi.

Beliau turut memutuskan bahawa Hydroshoppe, Menara Kuala Lumpur dan MKL Cuisine telah memenuhi prasyarat bagi membuktikan bahawa tindakan plaintif tidak dapat dipertahan.

Dalam penghakimannya, Raja Ahmad Mohzanuddin berkata plaintif merupakan pihak luar kepada Perjanjian Konsesi antara kerajaan dan Menara Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, adalah amat wajar untuk mengambil kira fakta bahawa defendan kelima pada setiap masa yang relevan telah menyerahkan sepenuhnya operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL kepada defendan kedua selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. 

“Oleh itu, plaintif tidak berhak memulakan sebarang tindakan perundangan berkaitan perjanjian konsesi tersebut kerana tiada hubungan kontrak antara plaintif dan defendan kelima,” katanya.

Mengenai dakwaan plaintif tentang kegagalan menjalankan tugas awam terhadap defendan keempat dan kelima, Raja Ahmad Mohzanuddin berkata sekalipun andaian dibuat bahawa wujud kegagalan untuk bertindak oleh defendan keempat dan kelima, perlu wujud kaitan langsung antara plaintif dan kedua-dua defendan bagi mewujudkan kewajipan untuk bertindak di pihak mereka. 

“Tanpa kewujudan kaitan langsung antara kedua-dua pihak, adalah mustahil untuk mempertimbang tanggungjawab defendan keempat dan kelima... dalam tindakan berkaitan nonfeasance, adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa kewajipan untuk bertindak adalah perkara paling penting.

“Berdasarkan kausa tindakan plaintif, defendan keempat dan kelima tidak mempunyai kewajipan untuk bertindak melindungi kepentingan plaintif, dengan andaian bahawa terdapat kepentingan,” katanya.

Beliau juga berkata bagi membolehkan tuntutan plaintif terhadap defendan keempat dan kelima berhubung nonfeasance berjaya, niat jahat perlu dibuktikan. Daripada segi undang-undang, tort kecuaian tidak boleh dibuktikan tanpa niat jahat atau niat buruk.

“Namun, bagaimana defendan keempat dan kelima boleh mempunyai niat jahat terhadap plaintif jika terdapat ketiadaan hubungan daripada segi perundangan antara mereka?

“Plaintif tiada asas untuk membawa tindakan perundangan ini terhadap defendan keempat dan kelima… justeru itu, permohonan defendan keempat dan kelima dibenarkan dengan kos RM10,000,” katanya.

Ketika membenarkan permohonan defendan pertama, kedua dan ketiga untuk membatalkan saman itu, Raja Ahmad Mohzanuddin memutuskan bahawa plaintif sudah mempunyai kes yang sedang berjalan di bahagian komersial mahkamah, dan saman terbabit adalah serupa serta terdapat risiko keputusan bercanggah oleh dua mahkamah secara serentak. 

Panel itu turut memberikan kos RM10,000 kepada defendan pertama, kedua dan ketiga.   

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan April lepas, Asian Kitchen selaku plaintif berkata defendan kedua (Menara Kuala Lumpur) telah melantik plaintif untuk mengendalikan, mengurus dan menjalankan perkhidmatan makanan dan minuman di Menara KL termasuk restoran berputar, Atmosphere 360 bermula 15 Ogos 2011.

Bagaimanapun, plaintif berkata pada 2 Nov 2022, pihaknya telah menerima satu notis yang memaklumkan mengenai perubahan pengurusan defendan kedua daripada Telekom Malaysia kepada defendan pertama (Hydroshoppe) berkuat kuasa pada 1 Nov 2022.

Plaintif berkata susulan pengambilalihan saham defendan kedua dan konsesi Menara KL oleh pengurusan baharu defendan kedua iaitu defendan pertama pada 31 Okt 2022, satu surat bertarikh 10 Nov tahun sama telah dikeluarkan bagi menamatkan plaintif sebagai pengendali makanan dan minuman di Menara KL.

Surat itu turut menuntut agar plaintif mengosongkan serta menyerahkan milikan kosong premis tersebut pada atau sebelum 31 Dis 2022 tanpa memberikan sebarang alasan atau berbincang terlebih dahulu dengan plaintif.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa pemberian konsesi oleh defendan kedua kepada defendan pertama adalah tidak sah dan terbatal. 

Plaintif mendakwa sejak diusir daripada premis itu di Menara KL selepas 30 Jun 2023, syarikat berkenaan telah mengalami kerugian dan kerosakan selain mendakwa kerugian itu berpunca daripada penamatan kontrak pekerjaan kira-kira 82 kakitangan.

Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili peguam Arun Ganesh Boopalan dan Andrew Navin; defendan pertama hingga ketiga diwakili peguam David Wong Zhi Khang manakala defendan keempat dan kelima diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan