JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Jenayah Najib Tiada Kaitan Dengan Saman Sivil SRC Yang Sedang Berjalan - Peguam

24/09/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan langsung dengan saman sivil syarikat tersebut terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Naib, berhujah bahawa kes jenayah dan sivil adalah tertakluk kepada standard pembuktian yang berbeza. 

"Dalam kes jenayah, kesalahan tertuduh perlu dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah manakala dalam kes sivil, hak pihak-pihak atau perkara yang dipertikai akan diputuskan berdasarkan imbangan kebangkalian.

"Jika mana-mana pihak bergantung kepada keputusan mahkamah jenayah dan menuntut agar mahkamah sivil memberikan kepercayaan kepada keputusan yang sama, pihak itu bertanggungjawab untuk mengemukakan bahan tambahan yang dapat menyokong pemerhatian dan keputusan mahkamah jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berhujah pada pendengaran saman USD1.18 bilion yang difailkan SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Muhammad Shafee berkata sekiranya terdapat sebarang bahan dalam kes itu yang boleh mengukuhkan atau mencabar keputusan mahkamah jenayah maka mahkamah sivil tidak dihalang daripada bergantung kepadanya.

"Dalam perbicaraan kes jenayah, sebarang dokumen yang memudaratkan tertuduh biasanya akan dibantah atau dicabar sebagai sebahagian daripada prosedur standard.

"Bagaimanapun, dalam perbicaraan kes sivil, saya bercakap bagi pihak diri sendiri, saya akan membantah banyak dokumen yang dikemukakan… jika dokumen itu memiliki kekurangan daripada aspek asal usul, sejarah dan ketulenannya, saya akan membantah kerana ia boleh menjejaskan keputusan kes," katanya.

Saman itu, yang difailkan pada 2021 membabitkan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, yang diberikan kepada SRC dalam dua peringkat iaitu pada separuh kedua 2011 dan separuh pertama 2012 dan SRC kini memohon deklarasi daripada mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat itu sebanyak USD1.18 bilion akibat pelanggaran tugas dan amanah.

SRC kini memohon perintah agar Najib membayar pampasan sebanyak USD120 juta manakala Nik Faisal membayar USD2 juta kepada SRC International, selain ganti rugi.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan