Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kalangan menteri ekonomi ASEAN mengingatkan peningkatan dasar perlindungan dan langkah perdagangan unilateral boleh menjejaskan sistem perdagangan pelbagai hala serta rantaian bekalan.
Sehubungan itu, mereka menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 mengulangi komitmen ASEAN sejak sekian lama terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, inklusif, berasaskan peraturan dan tidak diskriminasi, berteraskan prinsip dan disiplin Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Beberapa mesyuarat, termasuk rundingan dengan Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan, telah dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Mesyuarat menekankan keperluan penting dan mendesak untuk memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala melalui pembaharuan yang pragmatik, berpandangan jauh dan inklusif, meningkatkan kebolehramalan serta menyokong daya tahan ekonomi berikutan tadbir urus perdagangan global yang semakin sukar dan tidak menentu,” kata kalangan menteri ekonomi ASEAN dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tiga hari mesyuarat, yang turut melibatkan rundingan dengan rakan dialog.
Mesyuarat turut mengambil maklum berkenaan dengan cadangan awal Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF), yang merangkumi syor jangka masa pendek hingga panjang bagi menguatkan lagi daya tahan ekonomi serantau daripada kejutan luaran.
Kalangan menteri ekonomi ASEAN turut menggesa pihak berkuasa Kastam ASEAN supaya bekerjasama dalam meningkatkan penguatkuasaan dan membanteras penipuan mengenai tempat asal.
Menurut kenyataan itu, usaha sedang dijalankan untuk melancarkan lagi pergerakan serta membolehkan Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS) bermula dari Myanmar menjelang akhir 2025.
Menteri-menteri ekonomi juga mengharapkan penambahbaikan Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) bagi mewujudkan kesalinghubungan antara rakan dialog dan negara anggota ASEAN.
Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai kemajuan berkenaan dengan pertukaran dokumen berkaitan perdagangan secara elektronik melalui ASW, termasuk e-Borang D ATIGA (Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN) dan Dokumen Pengisytiharan Kastam ASEAN (ACDD), yang kini dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN.
Kenyataan itu turut menjelaskan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Alternatif yang baharu telah dimasukkan untuk mempercepat penyelesaian pertikaian perdagangan barangan antara negara anggota ASEAN bagi melancarkan aliran perdagangan dan pelaburan di rantau ini.
Berasaskan sokongan proaktif ATIGA yang ditambah baik, ASEAN bukan sahaja dapat mengurangkan kesan geseran perdagangan luar, malah juga meningkatkan kuasa dan daya saing kolektifnya di peringkat global, kata kalangan menteri.
Mereka berkata ATIGA yang ditambah baik itu merupakan instrumen strategik untuk memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN, membolehkan rantau ini menghadapi kejutan luaran dengan lebih baik, melindungi rantaian bekalan dan menghadapi gangguan global dengan keyakinan yang lebih tinggi, di samping meneguhkan lagi serta memperluas integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota.
Mesyuarat AEM ke-57 turut mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Persaingan ASEAN (AFAC), yang mencerminkan komitmen rantau ini untuk menggalakkan persekitaran perniagaan yang adil, kompetitif, dinamik dan berasaskan peraturan ke arah ekonomi tunggal ASEAN dan sedia masa depan.
Mesyuarat juga menjangkakan pemuktamadan Pelan Tindakan Strategik ASEAN bagi Pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2026-2030, yang akan menjadi rangka tindakan ASEAN untuk mencapai matlamatnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial