KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan detik mencemaskan apabila diintimidasi oleh dron rejim Israel yang turut melakukan letupan di udara.
Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Cente Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata flotila itu berdepan cubaan intimidasi oleh 15 dron Israel yang berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit.
“Selain itu, lapan letupan turut dilaporkan berlaku di ruang udara berhampiran oleh delegasi serta kapal sekitar, dipercayai sebagai bentuk ugutan terbuka terhadap misi ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram sumudnusantaraofficial hari ini.
Beliau berkata dron berkenaan juga dipercayai digunakan bagi tujuan pengumpulan maklumat oleh pihak rejim.
Bagaimanapun, Ahmad Sani Araby berkata 34 delegasi Malaysia yang menyertai misi flotila kemanusiaan ke Gaza itu berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata ketika ini, flotila itu berada di zon kelabu iaitu perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, dan masih belum memasuki zon kuning atau merah.
Ahmad Sani Araby berkata juga gangguan itu merupakan insiden keempat sejak pasukan berkenaan memulakan pelayaran di Laut Mediterranean, dipercayai bertujuan menakutkan dan mengugut aktivis kemanusiaan yang menyertai misi tersebut.
Beliau berkata misi berkenaan adalah misi kemanusiaan tanpa kekerasan bagi menghantar bantuan serta mendesak agar perang dan krisis kebuluran dihentikan segera.
“Kami mendesak kepimpinan dalam negara dan dunia untuk segera bertindak atas provokasi terhadap kumpulan aktivis kemanusiaan yang merupakan orang awam ini,” katanya.
GSF terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis bertujuan mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Serangan tentera Israel telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza dan memusnahkan wilayah itu yang kini berdepan krisis kebuluran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial