PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang gagal memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) lebih daripada tiga tahun berisiko hilang kelayakan menerima subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan terdapat 2.4 juta pemegang CDL berada dalam status tidak aktif, iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
“Daripada lebih kurang 15 juta lesen memandu yang masih aktif, sebanyak 925,421 telah tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata daripada jumlah itu, sebanyak 551,688 lesen tamat tempoh kurang setahun, 219,092 (antara satu hingga dua tahun) dan 154,641 (antara dua hingga tiga tahun).
Beliau berkata pemegang CDL yang gagal memperbaharui lesen melebihi tiga tahun akan disekat secara automatik melalui sistem Kementerian Kewangan.
“Apa yang saya ingin tekankan ialah kira-kira 925,000 pemegang lesen ini, walaupun masih dalam tempoh aktif tetapi tidak diperbaharui, perlu segera memperbaharui lesen, khususnya mereka yang hampir mencecah tiga tahun.
“Lebih 154,000 orang yang tidak memperbaharui lesen hampir tiga tahun tidak layak menerima subsidi RON95 secara automatik kerana apabila lesen tidak sah, ia akan terus disekat melalui sistem MOF,” katanya.
Loke berkata pemegang CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun disaran segera memperbaharui lesen bagi mengelakkan mereka diwajibkan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).
Beliau berkata sejak pengumuman berkaitan BUDI95 pada 22 Sept lalu, JPJ merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi MyJPJ, mySikap, kios dan kaunter JPJ di seluruh negara.
Loke turut mengingatkan orang ramai agar menyemak tarikh tamat tempoh CDL masing-masing dan memperbaharui segera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu mengumumkan harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini bagi rakyat tempatan.
Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial