DUNIA

Lubnan Gesa Serangan Israel Dihentikan, Tentera Pendudukan Diundurkan Dari Wilayahnya

24/09/2025 11:43 AM

ISTANBUL, 24 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Selasa menggesa supaya serangan Israel segera dihentikan, tentera Israel diundurkan dari wilayah negara itu serta pembebasan tahanan warga Lubnan , lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York, Aoun menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa supaya berdiri bersama Lubnan serta memberi sokongan agar negara itu terus berperanan sebagai landasan dan model bagi keamanan serta kehidupan bersama.

“Kami menuntut agar serangan Israel dihentikan, pengunduran tentera pendudukan dari semua tanah kami, pembebasan tahanan kami, dan pelaksanaan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

Tidak akan ada pembangunan tanpa keamanan, tiada keamanan tanpa keadilan, tiada keadilan tanpa hak asasi manusia, dan tiada kemakmuran dalam keadaan konflik serta peperangan,” katanya.

Menyatakan rasa dukacita kerana terpaksa berbicara tentang keamanan, pembangunan dan hak asasi manusia pada saat sebahagian rakyatnya dibunuh, sebahagian wilayah Lubnan diduduki serta masa depan negaranya terancam, Aoun menzahirkan kebimbangan terhadap situasi buruk yang dihadapi negaranya.

Beliau menekankan bahawa melindungi Lubnan adalah tanggungjawab global dan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa jika Lubnan - tempat umat Kristian dan Islam hidup bersama sebagai komuniti yang berbeza tetapi setara - runtuh, tiada negara lain di dunia yang mampu mencontohi pengalaman unik ini.

Aoun turut menegaskan bahawa Lubnan mewakili satu model yang membolehkan negara itu memiliki satu-satunya presiden Arab Kristian di rantau ini.

“Pertarungan mengenai identiti Lubnan - sama ada ia akan menjadi tanah kehidupan dan kegembiraan, platform rakyat kami untuk berhubung dengan rantau serta dunia, atau sebaliknya menjadi ranjang kematian, medan pertempuran dan tapak penyebaran konflik ke negara jiran - masih berterusan dengan sengit. Kami telah membuat pilihan, dan kami akan terus menempuh jalan pertama itu.”

“Seruan saya kepada anda ialah: berdirilah bersama kami untuk keamanan dan kemanusiaan di rantau kami. Jangan tinggalkan Lubnan.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan