PETALING JAYA, 24 Sept (Bernama) -- Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou membuktikan beliau memiliki jiwa besar apabila sedia berdamai dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhubung isu ganjaran Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Liek Hou mengakui terbuka untuk berjumpa dengan MPM bagi memperbaiki semula hubungan selain meredakan ketenganan yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada mentalnya sejak akhir-akhir ini.
“Kenapa tidak? Saya terbuka untuk berdamai dengan mereka. Jika MPM mahu, saya sentiasa mengalu-alukan pertemuan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pemenang pingat emas dua kali perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik itu mengakui setakat ini MPM belum menghubunginya bagi meminta penjelasan berhubung kontroversi hantarannya di media sosial baru-baru ini.
Pemain berusia 38 tahun itu mendakwa MPM gagal melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024 di Paris, dan menyatakan kekecewaan itu menerusi media sosial.
Menurut laporan media, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada tahun lepas memaklumkan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 bagi setiap atlet yang berjaya meraih pingat emas di temasya berprestij itu, disumbangkan tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas di Paris.
Namun, isu kelewatan pembayaran itu membawa kepada pertikaian terbuka hingga MPM pada Khamis lepas, mempertimbangkan tindakan undang-undang dan penggantungan terhadap atlet berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Ahad mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana tuntutan Liek Hou bukanlah pelanggaran disiplin, sebaliknya berkaitan janji penajaan yang masih belum selesai.
Liek Hou pada masa sama turut menganggap polemik melanda baru-baru ini sudah selesai apabila menerima baki ganjaran RM35,000 lagi oleh syarikat rangkaian kedai runcit (99 Speed Mart Sdn Bhd) semalam, selepas menerima RM25,000 dari MPM sebelum ini.
“Saya rasa isu ini sudah selesai. RM60,000 pun sudah dapat...Jadi, apa yang saya mahu buat sekarang adalah fokus kepada latihan untuk kejohanan akan datang dan cuba menang demi mengharumkan nama negara,” katanya.
Terdahulu, pemain nombor satu dunia itu menerima satu lagi ganjaran tambahan bernilai RM35,000 oleh syarikat pemaju berpangkalan di Johor, Faire Development.
Liek Hou, yang bersyukur menerima sumbangan khas dari Faire Development berkata mereka merupakan syarikat pertama menghubunginya selepas bersuara mengenai isu ganjaran Paris 2024 di media sosial sebelum ini.
Pengarah Urusan Faire Development Kenneth Lim berkata pihaknya amat berbesar hati dapat menghargai keringat Liek Hou dan prihatin terhadap kemelut melanda pemain berkenaan sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial