KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di sini hari ini.
Mereka ialah Bendahari Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor Datuk Ng Keng Heng dan Pengerusi Kelab Siam Sektor Awam Malaysia (KeSSA) Niran Tan Kran yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak.
Ng merupakan lantikan baharu dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 11 Sept hingga 10 Sept 2028, manakala Niran lantikan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 23 Sept 2028.
Awang Bemee ketika berucap mengalu-alukan pelantikan itu dan menasihatkan Ahli Dewan Negara agar peka dengan isu semasa termasuk hasrat Malaysia untuk mengurangkan ketegangan dalam ASEAN dengan menjadi orang tengah bagi perdamaian kepada negara anggota, seperti antara Thailand dan Kemboja.
“Kita mesti fikir tentang semua hal ini dan memainkan peranan sebagai seorang penggubal undang-undang agar kepentingan negara atau nasional terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang media, Ng menegaskan komitmen memberi perhatian serius terhadap perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negara memandangkan beliau turut aktif dalam Dewan Perniagaan Tiong Hua.
Selain itu, beliau berjanji untuk mengangkat agenda pembangunan Johor ke peringkat Dewan agar dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
Niran pula melihat pelantikan itu sebagai peluang membawa suara berkaitan keperluan meneliti isu perundangan semasa, termasuk cadangan pemisahan fungsi Peguam Negara dengan pendakwa raya, serta usaha mengemas kini undang-undang lama supaya lebih relevan dengan keadaan semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial