EKONOMI

AEM Ke-57 Bakal Perkukuh Asas Bagi FTA ASEAN-Kanada - Ahli Ekonomi

24/09/2025 01:58 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan di sini akan memperkukuh asas bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Kanada, dengan memberi tumpuan pada memantapkan aturan menentukan asal suatu produk dan protokol perdagangan digital.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed memberitahu Bernama bahawa FTA ASEAN-Kanada dua hala telah dilaksanakan dan dijangka menjadi medan ujian untuk pelaksanaan lebih meluas pada peringkat serantau antara kedua-dua pihak.

“Inisiatif dua hala menjadi kerangka perintis yang berpotensi membentuk kerjasama serantau, dengan Malaysia menerajui kerjasama dalam pensijilan halal manakala Singapura dan Thailand bekerjasama dengan Kanada dalam perjanjian teknologi bersih.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan hubungan dua hala malah turut berperanan sebagai model untuk disepadukan dalam FTA ASEAN-Kanada,” katanya kepada Bernama.

Perdagangan ASEAN-Kanada mencecah US$47 bilion (US$1 = RM4.20) pada 2023, meningkat 24 peratus dalam tempoh tiga tahun dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

Kedudukan pelaburan Kanada di ASEAN telah melebihi US$15 bilion, dengan tumpuan utama dalam sektor perlombongan, insurans dan pemprosesan makanan.

Shan berkata Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada integrasi ekonomi ASEAN-Kanada yang lebih baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

“Dalam landskap ini, Malaysia menjadi pemain penting. Ia terus menarik perhatian pelabur dengan menjadi hab logistik halal serantau, peneraju global dalam kewangan Islam dan platform eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang strategik ke pasaran Amerika Utara,” katanya.

Walaupun Kanada hanya mewakili 1.3 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN, nilai strategiknya adalah jauh lebih besar, kata Shan.

Beliau berkata dalam era persaingan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Kanada menawarkan laluan yang neutral dan berasaskan peraturan kepada ASEAN, memperkukuh struktur perdagangan yang lebih seimbang.

“Keanggotaan Kanada dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menggariskan komitmennya terhadap perdagangan berkualiti tinggi dan berasaskan peraturan, kelebihan yang melengkapkan inisiatif ASEAN terhadap integrasi yang lebih baik.

“Peranan Malaysia dari segi kedudukannya yang strategik dan menjadi pintu masuk ke China juga penting. Inisiatif ini berada antara geopolitik dan perdagangan, meningkatkan lagi peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam hubungan ASEAN-Kanada,” katanya.

Pada 10 Julai, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia sekali lagi menyuarakan keyakinannya terhadap rundingan FTA ASEAN-Kanada yang sedang dilaksanakan yang akan membuka peluang ekonomi yang besar untuk kedua-dua rantau selain memacu pertumbuhan yang inklusif dan berasaskan peraturan.

FTA itu menjadi tonggak utama dalam kerjasama Kanada yang lebih luas dengan Asia Tenggara, selaras dengan langkah negara itu untuk memperkukuh hubungan perdagangan, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan menyokong pembangunan mampan di Indo-Pasifik.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, menjadi tuan rumah kepada AEM ke-57 dari 22 hingga 26 Sept 2025, menghimpunkan menteri-menteri ekonomi dari semua negara anggota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan